Hargai seni sebagai asas pembinaan negara bangsa

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 15 April -Rakyat diseru supaya terus menghargai, memelihara dan memartabatkan seni sebagai asas pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, harmoni dan beridentiti kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seni membentuk tamadun dan memperkukuh keharmonian sejagat melalui kreativiti, inovasi serta pemikiran merentas bidang.
  • Sambutan seni oleh UNESCO mengiktiraf sumbangan penggiat seni dalam membina masyarakat lebih inklusif dan berdaya saing.
  • Kepelbagaian seni Malaysia, daripada tarian, muzik, kraf dan seni visual, menjadi jambatan menyatukan pelbagai etnik serta memperkukuh perpaduan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, seni memainkan peranan penting dalam membentuk tamadun manusia serta memperkukuh keharmonian sejagat.

“Sejak diperkenalkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sambutan ini menjadi wadah untuk mengiktiraf sumbangan para penggiat seni dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Seni Sedunia hari ini.

Datuk Aaron, berkata tarikh 15 April dipilih bersempena kelahiran tokoh agung Leonardo da Vinci yang melambangkan kehebatan kreativiti, inovasi dan pemikiran merentas bidang.

Beliau berkata seni adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang serta menekankan bahawa kepelbagaian seni di Malaysia yang lahir daripada lebih 200 etnik dan subetnik, termasuk tarian tradisional, muzik, kraf tangan dan seni visual moden mencerminkan kekayaan identiti negara.

“Seni menjadi jambatan yang merapatkan jurang perbezaan, memupuk rasa saling menghormati serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.