
NEW YORK, 27 September – Iran bersedia membuka semula Selat Hormuz dan memulihkan laluan perkapalan seperti biasa dalam tempoh tujuh hari sekiranya Amerika Syarikat (AS) menerima cadangan Tehran untuk memulihkan trafik maritim dan menyambung semula rundingan.
- Washington perlu memenuhi komitmen dalam empat hingga lima hari sebelum Iran membuka semula Selat Hormuz pada hari keenam.
- Cadangan itu berasaskan memorandum persefahaman Jun lalu yang sebelum ini meredakan ketegangan namun gagal dikekalkan.
- Araghchi menolak dakwaan program nuklear Iran untuk senjata, menyifatkannya sebagai pembohongan besar dan menegaskan tujuan adalah aman.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, cadangan itu telah disampaikan kepada Washington melalui Qatar dan tempoh tujuh hari berkenaan akan bermula sebaik sahaja AS menerima tawaran tersebut.
“Jika syarat yang diperlukan dipenuhi, selat itu boleh dibuka semula dan laluan maritim normal dipulihkan dalam tempoh tujuh hari. Pilihan kini terletak pada Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di sini, pada Jumaat.
Araghchi berkata, berdasarkan cadangan itu, Washington perlu memenuhi komitmen sedia ada dalam tempoh empat atau lima hari.
Iran kemudiannya akan membuka semula Selat Hormuz pada hari keenam, sebelum rundingan dengan AS disambung pada hari ketujuh.
Cadangan berkenaan berdasarkan komitmen yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dicapai Iran dan AS pada Jun lalu, yang menyaksikan ketegangan antara kedua-dua negara reda buat sementara waktu dan trafik maritim melalui selat itu kembali pulih sebelum pengaturan berkenaan gagal dipertahankan.
Araghchi berkata, Tehran sentiasa membuka ruang kepada usaha diplomasi, namun mendakwa Washington berulang kali memilih tekanan ketenteraan dan ekonomi berbanding rundingan.
“Iran tidak menerima paksaan, ancaman atau intimidasi dan Iran tidak akan menyerahkan hak berdaulatnya di bawah tekanan,” katanya.
Dalam pada itu, Araghchi menolak dakwaan baharu bahawa Tehran semakin hampir menghasilkan senjata nuklear, menyifatkannya sebagai “pembohongan besar”.
Beliau menegaskan program nuklear Iran kekal bertujuan untuk tujuan aman.
Wakil AS dan Iran turut mengadakan hubungan tidak langsung ketika Perhimpunan Agung PBB berlangsung, namun Washington setakat ini belum mengumumkan sama ada menerima cadangan Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari.
Sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB bermula di New York pada 8 September, manakala perbahasan umum berlangsung dari 22 hingga 28 September dengan tema “Restoring Trust, Managing Transformation: United Nations Delivering for All”. – VIORY