
KUALA LUMPUR, 28 September – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menzahirkan ucapan tahniah kepada Ng Eain Yow dan S. Sivasangari selepas menjadi atlet pertama kontinjen Malaysia yang mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
- Ng Eain Yow dan S. Sivasangari mencatat sejarah sebagai atlet skuasy pertama Malaysia layak ke Olimpik, selari dengan penampilan sulung skuasy di LA28.
- Kedua-dua atlet meraih slot automatik ke LA28 selepas memenangi pingat emas perseorangan lelaki dan wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- MOM dan presiden Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria memuji pencapaian itu sebagai petanda perkembangan berterusan dan babak baharu bagi sukan skuasy negara.
Kejayaan Eain Yow dan Sivasangari turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi atlet skuasy pertama negara yang layak ke temasya berkenaan, seiring penampilan julung kali sukan skuasy di pentas Olimpik pada edisi 2028.
Slot ke LA28 itu diraih secara automatik selepas kedua-dua jaguh berkenaan memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, pada Ahad.
Eain Yow mengesahkan emas perseorangan lelaki selepas menewaskan wakil India, Abhay Singh 3-0 di perlawanan akhir, manakala Sivasangari merangkul emas perseorangan wanita dengan menundukkan Anahat Singh, juga dari India, dengan keputusan 3-0.
Kejayaan berganda itu sekali gus menyaksikan kedua-duanya berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
“Kami meraikan pencapaian bersejarah Ng Eain Yow dan S. Sivasangari yang menjadi ikon buat sukan skuasy serta pergerakan Olimpik di Malaysia,” kata Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria menerusi kenyataan di Facebook rasmi MOM.
Beliau yang juga Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) menambah, kelayakan kedua-dua atlet itu mencerminkan perkembangan berterusan sukan skuasy di Malaysia.
“Kejayaan mereka membuka babak baharu buat sukan ini ketika skuasy bersedia membuat penampilan sulung yang dinanti-nantikan di pentas Olimpik,” ujarnya.