Banjir Bangkok jejas 52,000 isi rumah, 4,200 penduduk dipindahkan

Foto AFP

BANGKOK, 26 September – Banjir yang melanda kesemua 50 daerah di Bangkok menjejaskan kira-kira 52,000 isi rumah dan memaksa kira-kira 4,200 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan terkumpul melebihi 300 milimeter, menghasilkan kira-kira 223 juta meter padu air.
  • Beberapa terusan utama capai kapasiti dan sebahagiannya melimpah, menjejaskan komuniti serta 13 jalan utama.
  • BMA mengoperasikan pam saliran pada kapasiti penuh dan menyelaras DDPM, tentera, bot serta kenderaan khas ke kawasan sukar diakses.
  • BMA sediakan 233 pusat perlindungan, sekolah sebagai pusat utama; hospital dan 69 pusat kesihatan bersedia, hampir 40 pesakit terlantar dipindah.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata, jumlah hujan terkumpul di ibu negara itu melebihi 300 milimeter pada Khamis, menghasilkan kira-kira 223 juta meter padu air.

Beliau berkata beberapa terusan utama telah mencapai kapasiti maksimum, dengan sebahagiannya melimpah dan menjejaskan komuniti serta laluan pengangkutan di kawasan sekitar.

“Ketika ini, kira-kira 13 jalan utama terjejas dan sekitar 4,200 penduduk telah berpindah ke pusat perlindungan,” katanya dalam mesyuarat secara dalam talian pada Sabtu yang dipengerusikan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, yang menyertainya dari London.

Chadchart berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengoperasikan peralatan saliran dan pam pada kapasiti penuh.

BMA turut menyelaras dengan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), unit tentera serta agensi lain untuk mengerahkan kenderaan yang sesuai meredah banjir, bot dan petugas ke kawasan yang dilanda banjir dalam atau sukar diakses.

Beliau berkata BMA menyediakan 233 pusat perlindungan sementara dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 15,000 orang, manakala hampir 40 pesakit terlantar telah dipindahkan ke hospital.

Sekolah digunakan sebagai pusat perlindungan sementara utama, manakala 69 pusat kesihatan awam dan 13 hospital di bawah BMA berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan perubatan, khususnya kepada pesakit terlantar dan kumpulan rentan lain.

Sekolah perbandaran di bawah BMA yang sedang mengadakan peperiksaan akan ditutup pada Isnin bagi mengurangkan kesukaran perjalanan ibu bapa, pelajar dan guru ketika usaha menangani banjir diteruskan.

Sementara itu, Lapangan Terbang Suvarnabhumi memaklumkan banjir di kawasan sekitar tidak menjejaskan operasi atau perkhidmatannya, dengan penerbangan ketibaan dan pelepasan terus beroperasi seperti biasa.

“Bagi penumpang yang dalam perjalanan ke dan dari lapangan terbang, laluan akses utama masih dibuka dan boleh dilalui. Penumpang dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan ketika menuju ke lapangan terbang,” menurut Jabatan Hal Ehwal Khas dan Perhubungan Komuniti lapangan terbang itu.

Penumpang antarabangsa dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan yang dijadualkan, manakala penumpang domestik sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi memastikan masa mencukupi untuk urusan daftar masuk dan pemeriksaan keselamatan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.