Syria mula hantar petrol import ke Iraq ekoran gangguan di Selat Hormuz

Foto Fail AFP

DAMSYIK, 28 September – Syria mengesahkan telah mula menghantar bekalan petrol import ke Iraq minggu ini, beberapa bulan selepas Baghdad memulakan eksport minyak mentah melalui wilayah Syria berikutan konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengangkutan petrol import ke Iraq melalui terminal minyak Banias di pantai Mediterranean Syria.
  • Langkah sebahagian daripada perjanjian tiga bulan boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga akibat gangguan trafik marin di Selat Hormuz.
  • Operasi bermula Khamis lalu dengan penghantaran kumpulan pertama melibatkan 57 treler tangki.
  • Syarikat UCC dari Qatar membeli petrol; Syria bertindak sebagai pengangkut serta mengenakan bayaran perkhidmatan, dan usaha meningkatkan lori ke 200 sehari.

“Syarikat Petroleum Syria telah memulakan proses pengangkutan petrol yang diimport untuk Iraq menerusi terminal minyak Banias yang terletak di pantai Mediterranean Syria,” menurut laporan agensi berita rasmi Syria, SANA.

“Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada perjanjian tiga bulan yang boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga berikutan gangguan terhadap trafik marin di Selat Hormuz,” tambah laporan itu lagi.

Pegawai Syarikat Petroleum Syria, Ahmed Qubbaji memaklumkan operasi tersebut bermula pada Khamis lalu dengan penghantaran kumpulan pertama melibatkan 57 buah treler tangki.

Usaha kini sedang dijalankan bagi meningkatkan jumlah lori tangki yang merentasi sempadan darat Al-Tanf ke Iraq sehingga 200 buah sehari.

Menurut Qubbaji, syarikat UCC dari Qatar bertanggungjawab membeli petrol berkenaan daripada pelbagai sumber global, manakala Syria bertindak sebagai pengangkut dengan mengenakan bayaran perkhidmatan.

“Operasi ini menyokong peranan Syria sebagai koridor utama bagi aktiviti import, eksport serta pengangkutan bahan dan tenaga antara negara-negara serantau,” jelas beliau.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.