
FRANKFURT, 28 September – Penerbangan Lufthansa dari Frankfurt ke Lisbon terpaksa dilencongkan ke Lyon, Perancis selepas bateri mudah alih (powerbank) milik seorang penumpang kebakaran.
- Anak kapal bertindak pantas memasukkan bateri ke dalam beg pelindung khas untuk bateri litium.
- Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pesawat mendarat tanpa insiden tidak diingini.
- Penumpang menyambung semula perjalanan pada Ahad selepas ditempatkan di hotel berhampiran untuk bermalam.
- Lufthansa melarang penggunaan serta pengecasan bateri luaran dalam pesawat sejak Januari; penumpang dibenarkan membawa maksimum dua unit dalam kabin mengikut syarat.
Kenyataan syarikat penerbangan berkenaan menyatakan, insiden tersebut berlaku pada Sabtu ketika pesawat Airbus A321-200 yang membawa 198 penumpang sedang menuju ke ibu negara Portugal.
Jurucakap Lufthansa memaklumkan anak kapal bertindak pantas memasukkan bateri berkenaan ke dalam beg pelindung khas yang direka untuk bateri litium.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan juruterbang mengambil keputusan mengalih laluan ke Lyon atas langkah berwaspada. Pesawat berkenaan berjaya mendarat tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Para penumpang menyambung semula perjalanan mereka pada Ahad selepas ditempatkan di sebuah hotel berhampiran untuk bermalam,” jelasnya.
“Keselamatan para penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan tertinggi Lufthansa pada setiap masa,” jelas syarikat itu dalam kenyataan sama.
Lufthansa melarang penggunaan serta pengecasan bateri luaran di dalam pesawatnya sejak Januari lalu, walaupun penumpang masih dibenarkan membawa hingga dua unit bateri di dalam kabin mengikut syarat keselamatan tertentu.- AFP