Puluhan terkorban, cedera dalam serangan dron Arab Saudi di Taiz

Foto AFP

SANAA, 28 September – Serangan udara oleh Arab Saudi di wilayah Taiz, barat daya Yaman, mengorbankan serta mencederakan puluhan mangsa di kawasan yang dikuasai kumpulan Houthi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap Houthi dakwa Arab Saudi melancarkan dua serangan udara, membedil sebuah pasar di pinggir bandar.
  • Laporan berbeza: Al-Masirah lapor 7 maut, 40 cedera; Kementerian Kesihatan Houthi kata lima mangsa cedera adalah kanak-kanak.
  • Krisis melarat; Houthi ambil alih pesisir Laut Merah, ganggu eksport tenaga Arab Saudi, manakala Riyadh memintas dua dron dan tukar sekolah ke pembelajaran dalam talian.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa Arab Saudi melancarkan dua serangan udara yang membedil sebuah pasar di pinggir bandar berkenaan.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terkorban atau cedera.

Beliau mengecam tindakan itu dan berikrar akan mengambil tindakan susulan.

Saluran televisyen kendalian Houthi, Al-Masirah, melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 40 lagi cedera dalam serangan di pasar tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan Houthi, lima daripada mangsa yang cedera merupakan kanak-kanak.

Beberapa sumber Houthi mengesahkan kepada AFP bahawa siri serangan itu mengorbankan hampir 30 ahli kumpulan berkenaan serta lapan orang awam.

Walaupun bandar Taiz dikuasai oleh pasukan tentera kerajaan, kawasan sekitarnya telah lama dikepung oleh kumpulan Houthi dan kekal sebagai salah satu medan pertempuran utama dalam perang saudara Yaman.

Pertempuran di Yaman kembali meletus pada Julai lalu berlatarbelakangkan konflik Asia Barat yang semakin meluas.

Krisis ini semakin meruncing bulan ini apabila kumpulan Houthi melancarkan serangan dan menawan keseluruhan pesisir Laut Merah Yaman, termasuk Selat Bab al-Mandab yang merupakan laluan perkapalan penting dunia.

Dalam masa sama, kumpulan Houthi melancarkan sekatan ke atas eksport tenaga Arab Saudi yang sebelum ini terjejas berikutan penutupan Selat Hormuz oleh Iran.

Pada Sabtu, Arab Saudi mengesahkan telah memintas dua dron Houthi yang menuju ke ibu negara, Riyadh.

Susulan situasi keselamatan itu, sekolah di Riyadh mengumumkan pembelajaran dalam talian selama seminggu bermula Ahad.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.