Penguasaan ilmu teknologi perlu seiring nilai dan peradaban – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama delegasi luar yang hadir ke Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi (WADAH, ABIM, PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue malam tadi / Foto BERNAMA

BANGI, 26 September – Penguasaan ilmu dan teknologi perlu seiring dengan penghayatan nilai dalam usaha membangunkan negara bangsa yang maju serta berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ilmu dan teknologi mesti disertai penghayatan nilai dan akhlak bagi pembangunan negara berteraskan prinsip Malaysia MADANI.
  • Kemajuan tidak boleh dibina atas kemarahan atau sentimen yang memecahbelahkan; ia perlu berasaskan kekuatan ilmu dan keyakinan.
  • Peradaban kukuh dibentuk melalui ilmu, pemikiran dan nilai untuk mengangkat martabat bangsa serta membentuk jati diri masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan sesebuah negara tidak boleh dibina berasaskan kemarahan atau sentimen yang memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu berteraskan kekuatan ilmu, keyakinan dan cita-cita murni.

Beliau berkata, peradaban yang kukuh juga perlu dibina atas asas keyakinan dan ilmu sebagai landasan dalam membangunkan negara, sekali gus mengangkat martabat bangsa dan negara.

“Islam itu tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.

“Negara, seperti juga masyarakat, apatah lagi gerakan, akan tempang sekiranya ledakan itu hanya dengan semangat dan kemarahan. Ia mesti berteraskan ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini, malam tadi.

Datuk Seri Anwar menambah, penguasaan ilmu dan teknologi perlu disertai pembinaan nilai serta akhlak supaya kemajuan yang dicapai bukan sahaja meningkatkan keupayaan negara, malah membentuk masyarakat yang berilmu, berkeyakinan dan mempunyai jati diri.

Menurut beliau, pembangunan negara yang kukuh tidak boleh hanya bergantung kepada kemajuan material, sebaliknya perlu disokong kekuatan pemikiran, ilmu dan nilai yang menjadi asas pembinaan peradaban.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.