
KANGAR, 26 September – Golongan muda boleh menjadikan hobi mengumpul setem pos sebagai titik permulaan untuk meneroka sejarah, perkembangan negara serta hubungan antarabangsa.
- Bidang filateli perlu berkembang dengan pendekatan baharu untuk menarik minat generasi muda.
- Nilai sejarah dan pendidikan dalam setem pos tidak harus dilupakan walaupun wujud teknologi moden.
- Kemajuan teknologi perlu diterima, namun bentuk komunikasi tradisional wajar dipelihara untuk tujuan pendidikan.
- Pameran setem Lima Negara dirasmikan oleh Raja Perlis, menunjukkan sokongan diraja terhadap filateli.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bidang filateli perlu terus berkembang dengan pendekatan baharu bagi menarik minat generasi muda terhadap hobi berkenaan.
“Walaupun perkhidmatan pos dan penggunaan setem merupakan kaedah komunikasi konvensional berbanding teknologi terkini, nilai sejarah dan pendidikan yang terkandung di dalamnya tidak harus dilupakan.
“Sejarah setem pos berkait rapat dengan pelbagai peristiwa penting yang mampu menjadi sumber pendidikan kepada generasi akan datang,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pameran Setem Lima Negara Perlis, Malaysia 2026 di Dewan 2020, Kangar.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi berkata, kemajuan teknologi dan bentuk komunikasi baharu perlu diterima, namun nilai pendidikan serta sejarah yang terdapat dalam bentuk komunikasi tradisional wajar terus dipelihara.
Beliau berkata, setem pos boleh menjadi titik permulaan kepada golongan muda untuk mengenali sejarah, geografi, budaya, sains dan hubungan antarabangsa.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan merasmikan pameran.
Turut berkenan hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.