
BANGI, 27 September – Negara tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan perbuatan menjarah kekayaan negara untuk kepentingan peribadi, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kerajaan menghormati semangat Perlembagaan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
- Perdana Menteri berhak memberi pandangan dan nasihat berdasarkan hukum serta kepentingan negara.
- Pelaku yang menyalahguna kekayaan negara, termasuk kes Tabung Haji, FELDA dan 1MDB, mesti dipertanggungjawabkan; keputusan tidak dielakkan demi menyelamatkan individu.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, termasuk berkaitan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar berkata, pendirian itu tidak menghalang beliau sebagai Perdana Menteri daripada memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang serta kepentingan negara.
“Bila kita bincang soal yang menjadi kontroversi baru-baru ini, tentang keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai kes Najib, tentunya sebagai seorang Perdana Menteri, saya akur dengan semangat Perlembagaan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Tapi ia tidak menghalang, umpamanya, seorang Perdana Menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang dan kesannya. Apa yang nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan amalan menyakau wang negara. Itu satu!” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini, malam tadi.
Beliau turut menyentuh beberapa institusi yang pernah menjadi perhatian umum, termasuk Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut beliau, individu yang mengaut kekayaan negara perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Tabung Haji, FELDA, 1MDB, orang yang mengaut kekayaan harus juga menjawab. Jadi, apa juga keputusan, kita tidak harus mengalih keputusan dan pandangan untuk menyelamatkan negara kita,” tegasnya.
Majlis itu menghimpunkan lebih 2,000 anggota Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.