45 kawasan hijau tambahan diwartakan di Wilayah Persekutuan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 15 April – Sebanyak 45 kawasan hijau dan lapang tambahan telah diwartakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 539 kawasan berbanding 494 sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama DBKL dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian untuk mewartakan kawasan hijau tambahan sebagai keutamaan kerajaan Wilayah Persekutuan.
  • Pewartaan kawasan hijau dilaksanakan secara berterusan dan akan ditambah setiap bulan, menunjukkan fokus berterusan terhadap ruang hijau.
  • Penambahan seluas 27.76 hektar membantu menyeimbangkan pembangunan bandar serta menyokong Kuala Lumpur lebih mampan dan selesa didiami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha berterusan itu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian daripada keutamaan kerajaan dalam memperluaskan kawasan hijau di ibu negara.

“Masih terdapat kawasan yang akan diwartakan sebagai kawasan hijau, dan pewartaan akan terus ditambah setiap bulan.

“Ini merupakan fokus serta keutamaan kami,” katanya dalam sidang media berkaitan tambahan kawasan lapang / hijau di Wilayah Persekutuan di Taman Desa, di sini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan bandar dan keperluan ruang hijau, selain menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur lebih mampan dan selesa untuk didiami.

Penambahan kawasan hijau itu melibatkan keluasan keseluruhan sebanyak 27.76 hektar.

Orang awam boleh menyemak senarai penuh kawasan yang telah diwartakan melalui portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.