Malaysia perkukuh ekosistem semikonduktor

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berucap dalam majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia di ibu negara. /Foto FB MOSTI

KUALA LUMPUR , 15 April – Malaysia sedang memperkukuh ekosistem semikonduktornya di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, memandangkan komponen itu kini disifatkan sebagai kepentingan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan daripada pemasangan dan pengujian kepada peranan bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembangunan harta intelek selaras NSS.
  • SemiconStart oleh MTDC dengan kerjasama Silicon Catalyst UK menjadi inkubator strategik mempercepat pertumbuhan pemula semikonduktor Malaysia.
  • Malaysia menyumbang 13% pasaran global pengujian dan pembungkusan serta kekal pengeksport semikonduktor keenam dunia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata persekitaran global sedang berkembang pesat, dengan nilai semakin tertumpu kepada rantaian bekalan di peringkat awal berbanding aktiviti di peringkat akhir.

Industri berkenaan juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menarik pelabur masuk.

”Industri semikondukter pastinya mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan, membina keupayaan industri dan akan meletakkan malaysia sebagai pemain industri penting dalam ekosistem semikonduktor diperingkat global,” katanya ketika berucap dalam majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Tegasnya, Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi pemain dalam pemasangan dan pengujian kepada peranan yang lebih bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu termasuk pembangunan harta intelek selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Ia menunjukkan negara sedang mengambil langkah terancang untuk memperkukuh kedudukannya dalam segmen ekosistem yang bernilai lebih tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan keupayaan huluan lain demi daya saing jangka panjang.

SemiconStart merupaka program inkubator strategik yang diteraju oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), bertujuan memperkasa dan mempercepat pertumbuhan pemula pemain industri semikonduktor berteknologi tinggi di Malaysia selaras dengan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 lalu termasuk Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Jalinan kerjasama stategik antara MTDC dan Silicon Catalyst UK yang merupakan sebuah syarikat ternama diperingkat global itu, akan menjadikan SemiconStart Malaysia sebagai akses kepada pemula pemain industri semikonduktor Malaysia.

Malaysia kini menyumbang sebanyak 13 peratus pasaran global bagi pengujian dan pembungkusan semikonduktor serta kekal sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

Majlis tersebut turut dihadiri Tan Sri Abd. Rahman bin Mamat, Pengerusi MTDC, Pengarah Program SemiconStart Malaysia dan wakil Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) termasuk pelbagai agensi, universiti dan rakan kongsi industri.