Harga diesel subsidi turun: PDRM perkukuh penguatkuasaan bendung ketirisan

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api di seluruh negara susulan pelaksanaan penurunan harga diesel bersubsidi bermula bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 300 pegawai dan anggota ditempatkan di stesen minyak serta sempadan untuk mengekang penyeludupan dan penyelewengan bahan api.
  • Operasi awal berjaya membendung pembelian minyak berlebihan yang disyaki untuk diseludup ke luar negara.
  • PDRM serius mengenai penyalahgunaan vape yang dicampur bahan terlarang, membimbangkan keselamatan dan kesihatan remaja.
  • Penguatkuasaan bersepadu dan kerjasama agensi akan diperkukuh; juga mempererat sinergi PDRM-RESPA bagi kebajikan pesara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, lebih 300 pegawai dan anggota telah ditempatkan di stesen minyak serta kawasan berisiko, khususnya di sempadan negara, bagi mengekang aktiviti penyelewengan bahan api.

“Satu langkah awal untuk memastikan tidak berlaku pembelian minyak yang berlebihan bertujuan untuk diseludup ke luar negara. Dalam tempoh dua bulan lalu kita berjaya mengekang perkara-perkara yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-42 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara berkuat kuasa 1 Julai depan.

Langkah itu dilihat bukan sahaja mampu mengurangkan ketirisan subsidi, malah dijangka memberi kelegaan kepada golongan sasar menerusi pengurangan kos operasi dan kos sara hidup.

Dalam perkembangan lain, PDRM memandang serius trend penyalahgunaan vape yang dicampur bahan terlarang susulan kebimbangan ia boleh mengancam keselamatan dan kesihatan masyarakat, khususnya golongan remaja.

Walaupun penggunaan vape tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan memasukkan dadah sintetik ke dalam peranti tersebut.

“Isu mengenai vape ini berada di bawah Kementerian Kesihatan. Mungkin memerlukan kajian yang menyeluruh sama ada untuk kita hentikan atau kita haramkan sebab ada beberapa negara jiran kita telah mengharamkan vape ini.

“Kita khuatir penggunaan vape ini dari segi undang-undang begitu baik dan sempurna tetapi pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memasukkan sesuatu bahan terlarang yang boleh menimbulkan masalah,” katanya.

Sehubungan itu, PDRM akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi mengekang penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan terlarang.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara serta menghalang penularan ancaman dadah dalam bentuk baharu yang semakin membimbangkan.

Dalam pada itu, kerjasama strategik antara PDRM dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) akan terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan pesara polis sentiasa terpelihara.

Tan Sri Mohd Khalid berkata, sinergi itu penting dalam menangani pelbagai isu melibatkan pesara termasuk aspek kebajikan, kesihatan dan keperluan hidup.

Beliau turut menyokong cadangan RESPA supaya kadar elaun penerima darjah kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Pingat Gagah Berani dikaji semula selaras dengan peningkatan kos sara hidup semasa.

“Datuk Presiden mengangkat dua perkara yang berkaitan dengan kebajikan, pertama sekali yang melibatkan elaun-elaun yang diperoleh oleh perwira-perwira negara seperti Seri Pahlawan dan juga Pingat Gagah Berani yang tidak dikaji semenjak 2009 yang lalu.

“Dah 17 tahun, jadi mungkin kerajaan dapat mempertimbangkan semula kadar elaun ini selari dengan keadaan kos hidup yang ada pada hari ini,” katanya.

AGM RESPA Ke-42 kali ini menghimpunkan pegawai kanan polis bersara dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kesejahteraan ahli serta memperkukuh hubungan strategik dengan PDRM demi manfaat bersama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.