
SHAH ALAM, 14 Mac – Pematuhan terhadap pemasangan peranti kawalan had laju automatik (SLD) dalam kalangan pemilik serta pengendali kenderaan perdagangan masih rendah walaupun diwajibkan.
- Hanya 15% daripada 513,679 kenderaan perdagangan telah memaklumkan pemasangan peranti SLD kepada JPJ.
- Baki 85% atau 439,127 kenderaan masih belum melaporkan pemasangan kepada JPJ.
- Operasi Khas penguatkuasaan 1 Okt 2025 hingga 12 Mac memeriksa 111,743 kenderaan, 8,924 dikenakan Notis 114.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli memaklumkan, hingga Khamis lalu, hanya 15 peratus daripada 513,679 kenderaan perdagangan yang tertakluk kepada keperluan itu telah membuat pemakluman pemasangan kepada jabatan berkenaan.
“Jumlah tersebut bersamaan 74,552 kenderaan, manakala baki 85 peratus atau 439,127 kenderaan masih belum melaporkan pemasangan peranti berkenaan kepada JPJ.”
“Ia merangkumi 495,827 kenderaan barangan dengan berat maksimum melebihi 3,500 kilogram serta 17,852 buah bas yang mampu membawa lebih lapan penumpang dengan berat maksimum melebihi 5,000 kilogram.” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berkaitan Op Hari Raya Aidilfitri dan penguatkuasaan SLD di Shah Alam, Selangor.
Bagi meningkatkan pematuhan terhadap peraturan itu, JPJ turut melaksanakan Operasi Khas Penguatkuasaan SLD bermula 1 Oktober 2025 hingga 12 Mac lepas.
Sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 111,743 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 8,924 daripadanya dikenakan tindakan melalui Notis 114, iaitu notis panggilan temu siasat atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan dan fungsi peranti SLD.