Hampir 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Sandakan

Perkampungan atas air, Kampung Bahagia, Sandakan, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi./ Foto JBPM

SANDAKAN, 19 April – Hampir 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air, Kampung Bahagia, Sandakan, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.32 pagi; 35 anggota dari BBP Sandakan dan Kinabatangan dikerahkan sejauh 15 kilometer.
  • Keadaan jalan sempit, angin kencang, rumah rapat dan laut surut menyukarkan operasi serta mendapatkan sumber bekalan air terbuka.
  • Kebakaran menjejaskan lebih 900 Ketua Isi Rumah; Ketua Kampung berharap Kerajaan bertindak pantas dan menempatkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara.

Ketua Zon 6 Sandakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Jasri Ab Jal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 1.32 pagi.

35 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dan Kinabatangan bergegas ke lokasi sejauh 15 kilometer, sebaik sahaja menerima panggilan.

“Terdapat beberapa cabaran yang kita hadapi untuk ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit, sekali gus menghalang pergerakan jentera.

“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Kebakaran itu menjejaskan lebih 900 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Bahagia.

Sementara itu, Ketua Kampung Bahagia Hashim Sarip Iting berharap Kerajaan dapat mengambil tindakan pantas membantu penduduk terjejas termasuk menempatkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kampung Bahagia mempunyai 1,200 buah rumah dengan anggaran 8,000 penduduk.