ECRL capai 93% siap, ujian & pentauliahan dijangka bermula tahun ini

Stesen ECRL Gombak

KUALA LUMPUR, 29 AprilProjek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai 93 peratus keseluruhan siap setakat April 2026, dengan fasa ujian dan pentauliahan dijangka bermula tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek kekal mengikut jadual dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.
  • ECRL mengukuhkan hubungan antara pantai timur dan barat, mempercepat perjalanan, mengurangkan kos logistik serta menyokong perdagangan.
  • Projek jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan hubungan Malaysia dan China, berpotensi menjadikan Kuantan hab perdagangan serantau.

Timbalan Pengurus Besar China Communications Construction (CCCECRL), Ye Xiaoyang berkata projek berkenaan kekal mengikut jadual pelaksanaan dan dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan.

“Kami berada di landasan yang tepat. Kami bersedia untuk fasa ujian dan pentauliahan pada tahun ini bagi jajaran Kota Bharu ke Gombak dan kami jangka untuk memulakan operasi pada Januari 2027″, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perkongsian sempena Majlis Pelancaran Dokumentari The Story of Synergy (ASEAN Edition) di Stesen ECRL Gombak, hari ini.

Beliau berkata projek ECRL itu akan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negara melalui pengukuhan rangkaian perhubungan serta kecekapan sistem pengangkutan.

“Projek ini akan meningkatkan hubungan antara pantai timur dan pantai barat, menjadikan perjalanan serta pengangkutan lebih pantas dan efisien.

“Ia juga akan membantu mengurangkan kos logistik, menyokong perdagangan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan sepanjang jajaran,” katanya.

Dalam pada itu, kerjasama ekonomi dan infrastruktur antara Malaysia dan China terus menunjukkan perkembangan positif dengan projek ECRL dilihat sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi serta jaringan perhubungan serantau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia–China, dan bekas Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan infrastruktur, sebaliknya memberi impak lebih luas kepada pembangunan ekonomi negara serta rantau ASEAN.

“Pertama, dari segi pembangunan koridor yang akan membawa manfaat kepada pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi. Kedua, dalam konteks ASEAN dan China, kita akan melihat peningkatan hubungan serantau.

“Jika Malaysia memanfaatkan peluang ini dengan baik, Kuantan dan Malaysia boleh muncul sebagai hab perdagangan serta pusat hubungan antara Malaysia dan China”, ujarnya.

Katanya, dalam konteks ekonomi global yang mencabar, Malaysia mengamalkan strategi luar yang seimbang termasuk melalui pendekatan kepelbagaian pasaran serta rantaian bekalan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara.

Menurut beliau, hubungan Malaysia–China yang terjalin sejak 1974 bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, malah turut melangkaui rantau ASEAN melalui pengukuhan kerjasama ekonomi serantau.

Majlis berkenaan turut menghimpunkan wakil kerajaan, industri serta organisasi dari Malaysia dan China bagi membincangkan perkembangan kerjasama dua hala serta potensi masa depan hubungan serantau.