
KUALA LUMPUR, 29 April– Kerja-kerja penambahbaikan aspek keselamatan di Jalan Tapah-Cameron Highlands kini sedang giat dilaksanakan susulan insiden kemalangan maut yang berlaku di kawasan berkenaan pada 23 April lalu.
- JKR merangka pelan tindakan komprehensif meliputi strategi segera, jangka pendek, sederhana dan panjang.
- Pemasangan pagar jambatan, penghadang jalan dan papan tanda sedang dijalankan, dijangka siap pertengahan Mei.
- Lampu solar dipasang untuk memperbaiki pencahayaan kawasan gelap bagi meningkatkan keselamatan malam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah merangka pelan tindakan komprehensif yang merangkumi strategi segera, jangka pendek, sederhana, dan panjang mengikut keutamaan.
Sebagai langkah jangka pendek, beliau memaklumkan pemasangan bridge railing (pagar jambatan) sedang dijalankan di lokasi terbabit dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan bulan depan.
“Selain pemasangan penghadang jalan (guardrail) dan papan tanda, kita turut memasang lampu solar di lokasi ini. Kemudahan lampu solar ini sangat penting memandangkan kawasan tersebut sebelum ini gelap dan tidak mempunyai sistem pencahayaan,” kata Datuk Seri Alexander kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media perasmian The International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di ibu negara.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengharapkan ICOS 2026 akan menghasilkan tiga hasil utama iaitu pelan tindakan yang jelas, sistem amaran awal yang pantas, serta penyelesaian inovasi praktikal dalam menangani cabaran pengurusan serta penyelenggaraan cerun di Malaysia.
ICOS 2026 yang menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bakal memfokuskan kepada adaptasi teknologi terkini serta inovasi dalam bidang kejuruteraan cerun.
Terdahulu, dalam insiden pada 23 April lalu di laluan Tapah-Cameron, seorang pengguna jalan raya dilaporkan maut manakala lima lagi penumpang kenderaan yang sama mengalami kecederaan.