
KOTA KINABALU, 29 April- Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh langkah kesiapsiagaan bekalan air susulan amaran cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga melibatkan Beaufort dan Telupid.
- Kerajaan bekerjasama dengan pejabat daerah untuk memastikan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas, terutamanya kawasan tinggi.
- Memperkukuh logistik penghantaran air dan penyelarasan agensi bagi menjamin bekalan jika keadaan kemarau berlarutan.
- Kementerian bersedia bekerjasama dengan NADMA untuk pembenihan awan di kawasan tadahan air jika diperlukan.
- Peringatan agar penduduk elak pembakaran terbuka kerana risiko kebakaran tanah gambut dan strok haba, terutama kanak-kanak dan golongan berisiko.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, Datuk Limus Jury berkata pihaknya bekerjasama dengan pejabat daerah masing-masing bagi memastikan penghantaran bekalan air dilaksanakan di kawasan terjejas, khususnya kawasan tinggi.
“Pada masa sama, kita juga sedang meneliti langkah tambahan termasuk memperkukuh logistik penghantaran air serta penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk terus terjamin sekiranya keadaan kemarau berlarutan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kementeriannya juga bersedia bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan pembenihan awan di kawasan tadahan air sekiranya keadaan memerlukan.
Limus berkata langkah kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga, iaitu apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, bagi 16 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih mengingatkan penduduk, khususnya di kawasan Klias supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, termasuk membakar sampah dalam tempoh ini kerana dikhuatiri meningkatkan risiko kebakaran.
“Orang kampung biasanya suka membakar pada masa ini (cuaca panas) kerana mereka mahu membersihkan kebun. Jadi saya minta mereka elak daripada berbuat demikian kerana kawasan kita ini banyak tanah gambut.
“Keadaan cuaca panas Tahap 1 bukan sesuatu yang luar biasa di kawasan Klias, namun tetap memerlukan pemantauan rapi oleh semua pihak. Suhu sudah mencapai 37 darjah Celsius, kalau tidak dibakar pun ia boleh terbakar sendiri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum pula berkata pihaknya memandang serius amaran cuaca panas Tahap 1 yang melanda kawasan itu, yang pertama kali direkodkan di Telupid.
Beliau berkata koordinasi segera telah digerakkan bersama pejabat daerah dan agensi berkaitan termasuk melalui pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi menyelaras tindakan, khususnya melibatkan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas.
“Berapa kampung di Telupid kini berdepan gangguan bekalan air dan keadaan cuaca panas yang berterusan berpotensi memburukkan lagi situasi.
“Saya sudah mengarahkan pemaju mukim membeli dua pam air, dua tangki dan mewujudkan satu jawatan kuasa bertindak sukarelawan,” katanya yang turut bimbang risiko strok haba khususnya terhadap kanak-kanak serta golongan berisiko tinggi. -BERNAMA