PM pengerusikan Mesyuarat Pembangunan Petaling, fokus isu pelaksanaan

Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling hari ini yang dipengeruskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim/ RTM

SHAH ALAM, 29 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu di peringkat pelaksanaan khususnya melibatkan kebajikan rakyat dan pembangunan infrastruktur di Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat dihadiri pimpinan kanan kerajaan, wakil kementerian dan pegawai daerah bagi membincang pelaksanaan dasar di peringkat lapangan.
  • Perbincangan merangkumi kerosakan jalan raya, pengurusan banjir, kemiskinan bandar, rumah ibadat bukan Islam dan premis tidak berdaftar.
  • Isu penternakan babi dibincangkan susulan kebimbangan yang dibangkitkan di peringkat negeri.
  • Penekanan kepada penyelesaian segera, memperkukuh pelaksanaan dasar dan kerjasama Persekutuan dan Negeri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat berlangsung lebih satu jam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor itu dihadiri pimpinan kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, wakil kementerian berkaitan dan pegawai peringkat daerah.

Menurut sumber, perbincangan merangkumi pelbagai isu setempat termasuk kerosakan jalan raya, pengurusan banjir, kemiskinan bandar, serta isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam dan premis tidak berdaftar.

Isu penternakan babi turut dibincangkan susulan kebimbangan yang dibangkitkan di peringkat negeri.

Mesyuarat turut menekankan pendekatan penyelesaian segera terhadap isu berbangkit dan memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada di lapangan.

Dalam masa sama, perhatian diberikan kepada usaha mengeluarkan golongan miskin tegar khususnya di kawasan bandar di Selangor termasuk daerah Petaling.

Usaha itu dilihat selari dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.

Mesyuarat pembangunan daerah berkenaan merupakan sebahagian pendekatan berterusan kerajaan untuk turun padang dan menyelesaikan isu rakyat secara langsung di peringkat akar umbi.