fb fb fb fb fb

Disangka anak kucing, rupanya bayi lelaki!

FOTO IHSAN ORANG AWAM

PENDANG, 8 Oktober- Kedengaran seperti bunyi seekor anak kucing menyebabkan seorang Peniaga, Mahmud Lebai Salleh, 77 tahun, bertindak mencari bunyi itu di tepi gerainya berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Rambai, Tokai di Pendang, Kedah, pagi tadi.

Tanpa disangka, yang ditemukan merupakan seorang bayi lelaki yang diletakkan di tepi gerainya.

Menceritakan detik itu, Mahmud berkata dia mula membuka gerai kira-kira 6.45 pagi untuk berniaga kuih-muih.

Bagaimanapun, kira-kira satu jam selepas membuka gerai, kedengaran bunyi seperti anak kucing di tepi gerainya.

Tidak mengesyaki apa-apa yang aneh, dia kemudian mencari punca bunyi tersebut sebelum menjumpai sebuah kotak di atas meja di tepi gerainya.

"Saya terus membuka kotak itu dan terlihat seorang bayi lelaki yang diletakkan di dalam kotak." ujarnya.

Tanpa berlengah, dia kemudian segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk melaporkan penemuan bayi berkenaan.

"Kira-kira pukul 8 pagi, jururawat dari Klinik Desa Kampung Rambai telah sampai.

Tidak lama kemudian pihak polis sampai dan bawa bayi tersebut ke Hospital Pendang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bayi berkenaan dipercayai dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab, antara malam hingga awal pagi tadi.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pendang berhubung penemuan bayi tersebut.

Trainee2