Bekalan ubat negara masih stabil

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 April – Bekalan ubat-ubatan negara masih stabil sekurang-kurangnya sehingga Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan ubat merupakan gabungan simpanan kerajaan dan bekalan industri, termasuk insulin dan vaksin.
  • Kerajaan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mitigasi jangka pertengahan dan jangka panjang untuk atasi risiko bekalan.
  • Harga ubat dan peranti meningkat 30 hingga 40 peratus disebabkan kos logistik dan harga minyak, namun perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bekalan tersebut meliputi hasil kombinasi simpanan stok kerajaan dan bekalan industri.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengatasi risiko dan isu bekalan ubat-ubatan terutama dengan ketidaktentuan ekonomi global.

“Sekiranya peperangan di Asia Barat berterusan, kita akan menggunakan langkah-langkah mitigasi sama ada langkah jangka pertengahan dan jangka panjang. Untuk sementara ini, jangan terlalu panik.

“Kita ada pelbagai cara, antaranya mengadakan libat urus dengan pemain industri untuk mengetahui jumlah bekalan yang mereka ada. Sama ada insulin atau vaksin. Ia keperluan penting yang perlu dikongsi data berkaitan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly turut mengakui bahawa terdapat peningkatan harga ubat dan peranti perubatan sebanyak 30 sehingga 40 peratus berpunca daripada kos logistik dan harga minyak global.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa situasi ini tidak akan menjejaskan tahap perkhidmatan kesihatan dan langkah mitigasi akan diambil bagi menghadapi risiko gangguan bekalan.