Op Hazard 3.0 rekod nilai rampasan hampir RM600 juta, 515 individu ditahan

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM582 juta hasil operasi di 110 lokasi memproses sisa elektronik (e-waste) menerusi Op Hazard 3.0 di seluruh negara pada Isnin lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • 515 individu ditahan, usia 16 hingga 70 tahun, melibatkan warga tempatan dan pendatang tanpa izin.
  • Sebanyak 377 tan produk akhir e-waste seperti aluminium, tembaga dan timah dirampas.
  • Operasi bersepadu guna AMLA dan pelbagai undang-undang untuk menyita, membeku aset serta memulakan kertas siasatan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi berskala nasional itu menyasarkan kegiatan pemprosesan haram e-waste yang dikenal pasti masih aktif berdasarkan risikan pihak berkuasa.

“Operasi ini dilaksanakan di 11 negeri melibatkan 110 lokasi sasaran dan setakat ini menunjukkan pencapaian signifikan.

“Selain itu, sebanyak 377 tan produk akhir yang diproses daripada e-waste turut dirampas dengan nilai sekitar RM7.5 juta antaranya aluminium, tembaga dan timah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu seramai 515 individu berusia antara 16 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan serta pendatang tanpa izin.

Datuk Seri Mohd Khalid berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan menyeluruh dapat diambil.

“Kerjasama erat antara agensi telah berjaya melumpuhkan rangkaian jenayah sindiket melalui tindakan menyeluruh yang memaksimumkan sabitan kes di bawah peruntukan undang-undang,” katanya lagi.

Penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) membolehkan tindakan lebih agresif dilakukan termasuk menjejak, menyita, membeku serta melucuthak aset hasil aktiviti haram.

Beliau juga memaklumkan bahawa dua kertas siasatan dibuka melibatkan pembekuan tujuh akaun individu dan syarikat di bawah Seksyen 44(1) AMLA dengan nilai RM670,000.

Selain itu, sebanyak 11 lagi peruntukan undang-undang turut diguna pakai termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Sekenhend Barang Lusuh 1946 bagi mengesan pelbagai kesalahan.

Operasi berkenaan turut menyaksikan pengeluaran 74 kompaun oleh pihak berkuasa tempatan bernilai RM110,700 serta pembukaan 24 kertas siasatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

PDRM menegaskan akan terus memperkukuh operasi seumpama itu bagi membanteras kegiatan e-waste haram yang memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan negara.