Baucar Buku MADANI RM100 diteruskan demi perkasa budaya ilmu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 29 Mei -Inisiatif baucar buku MADANI bernilai RM100 akan diteruskan kepada pelajar sekolah menengah dan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa serta ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan kepada pendidikan dan budaya ilmu mesti dipelihara walaupun kerajaan perlu berjimat cermat.
  • Perdana Menteri arah Kementerian Kewangan utamakan program baucar buku MADANI walau dalam situasi sukar.
  • Kerajaan minta kementerian kurangkan perbelanjaan lain untuk menstabilkan kewangan negara tanpa mengabaikan pendidikan.
  • Perdana Menteri gesa ibu bapa pastikan anak guna baucar membeli bahan bacaan berkualiti dan membaca setiap hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan terhadap pendidikan dan budaya ilmu tidak boleh diketepikan meskipun kerajaan perlu mengambil langkah berjimat cermat dalam beberapa sektor lain.

“Kalau nak jadikan negara ini negara bertamadun, ilmunya luas, bidang pengetahuannya mesti diberikan galakan membaca.

“Jadi dalam soal program baucar buku MADANI ini saya tak ada pilihan. Saya beritahu Kementerian Kewangan, sukar atau perit sekalipun, soal buku dan pendidikan harus tetap diberikan keutamaan,” katanya ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Datuk Seri Anwar, mengakui keadaan ekonomi global ketika ini memberi tekanan kepada negara susulan konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran dunia.

Katanya, kerajaan juga terpaksa meminta kementerian dan agensi mengurangkan sebahagian perbelanjaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal stabil.

“Semua kementerian penting, semua fokus penting, tetapi dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak.

“Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan dalam masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa aspek pendidikan termasuk pembangunan budaya membaca tidak akan dipinggirkan.

Perdana Menteri turut menggesa ibu bapa memainkan peranan memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak dan memastikan baucar buku dimanfaatkan sebaiknya untuk membeli bahan bacaan berkualiti.

“Pastikan anak-anak bukan sahaja beli dan simpan dalam almari, tetapi mula membaca setiap hari,” katanya.

PBAKL 2026 edisi ke-43 berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.