
TAPAH, 29 Mei -Cuaca sejuk melampau dengan suhu boleh menurun hingga enam darjah Celsius menjadi antara cabaran utama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.
- Pasukan SAR berdepan laluan curam dan berbukit serta kekangan komunikasi yang menyukarkan operasi pencarian.
- Operasi SAR hari keenam dijalankan lebih berhati-hati kerana bentuk geografi memerlukan penggunaan tangan dan kaki serta perjalanan jauh.
- Keadaan fizikal mangsa semakin lemah menjejaskan fokus; peluang bertahan bergantung pada kekuatan mental dan fizikalnya.
Pasukan penyelamat turut berdepan keadaan muka bumi yang curam dan berbukit serta kekangan komunikasi di kawasan gunung, sekali gus menyukarkan operasi pencarian.
Malim Gunung Perhutanan Perak, Muzafar Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan operasi SAR yang kini memasuki hari keenam perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati.
“Antara cabaran yang dihadapi ialah faktor suhu, tiupan angin di kawasan banjaran tinggi serta bentuk geografi laluan yang memerlukan penggunaan kedua-dua tangan dan kaki untuk mendaki serta menuruni cerun dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Selain itu, jarak perjalanan yang jauh dipercayai cuba dipendekkan oleh pendaki berkenaan dengan menggunakan laluan tertentu,” katanya kepada pemberita, di sini.
Katanya, keadaan fizikal mangsa yang semakin lemah berkemungkinan menjejaskan fokus dan pertimbangan sehingga menyebabkan mangsa memasuki laluan yang hampir menyerupai trek asal ke kaki gunung.
Peluang untuk mangsa terus bertahan masih ada bergantung kepada kekuatan mental dan fizikalnya.
Jaslinda dilaporkan kali terakhir dilihat pada 24 Mei kira-kira pukul 7.30 pagi selepas dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.