Banjir Perak: 38 orang masih ditempatkan di PPS

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Slim dan Sungai Bidor / BERNAMA

IPOH, 11 Mei – Situasi banjir di Perak menunjukkan sedikit peningkatan melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama setakat petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hanya satu PPS masih beroperasi; 38 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di SK Matang Gelugor, penduduk Kampung Matang Pasir.
  • Daerah Batang Padang pulih sepenuhnya selepas PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru ditutup, membolehkan mangsa pulang.
  • JPS Perak melaporkan dua sungai pada paras bahaya dan beberapa sungai lain pada tahap amaran; orang awam dinasihatkan berwaspada.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, setakat pukul 4.00 petang, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi bagi menempatkan penduduk dari kawasan terjejas.

Seramai 38 penduduk terjejas daripada 10 keluarga kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor melibatkan penduduk dari Kampung Matang Pasir.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan seorang penduduk terjejas berbanding pada sebelah tengah hari.

Sementara itu, daerah Batang Padang pulih sepenuhnya selepas PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru ditutup secara rasmi pada pukul 8.30 pagi, sekali gus membolehkan semua  yang terjejas pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan dua sungai berada pada paras bahaya.

Sungai Slim di Slim River, daerah Muallim merekodkan bacaan 26.91 meter, manakala Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak mencatatkan bacaan 3.72 meter. Beberapa sungai lain turut berada pada tahap amaran termasuk Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar.

Selain itu, Sungai Ijok di Titi Ijok serta Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang menunjukkan trend peningkatan pada tahap waspada. Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.