MOT lancar buku Modul Kadet JPJ dan Pengurusan Kadet JPJ

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyerahkan buku panduan pengurusan Kadet JPJ kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tiga, kiri) pada Majlis Peluncuran Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S)/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Kementerian Pengangkutan melancarkan Buku Modul Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Buku Pengurusan Kadet JPJ di Austin International Convention Centre (AICC), Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Buku Modul Kadet JPJ dan Buku Pengurusan Kadet JPJ untuk menyokong pelaksanaan aktiviti Kadet JPJ di sekolah.
  • Buku dibangunkan oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya JPJ berasaskan PSKPM dan PKJRM untuk melahirkan generasi cakna keselamatan jalan raya.
  • Penerbitan memberi panduan teratur, objektif, menekankan empat prinsip termasuk keselamatan jalan raya dan perpaduan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buku berkenaan dibangunkan Bahagian Keselamatan Jalan Raya, JPJ bagi memastikan aktiviti Kadet JPJ dapat dijalankan di sekolah.

Pembangunan kedua-dua buku berkenaan berteraskan kepada Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024-2030 dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030. Ia sebagai usaha melahirkan generasi cakna dengan aspek keselamatan jalan raya.

Empat prinsip utama turut ditekankan dalam buku berkenaan, termasuk keselamatan jalan raya dan perpaduan.

“Seperti yang sedia maklum, aktiviti kokurikulum Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilaksanakan secara aktif di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

“Penerbitan kedua-dua buku ini bertujuan menyediakan panduan pelaksanaan yang lebih tersusun, objektif dan mempunyai sasaran yang jelas bagi aktiviti Kadet JPJ di sekolah. Usaha itu sekali gus memastikan setiap program dan aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan berkesan.

Beliau ditemui semasa Majlis Peluncuran Program MyLesen B2 Sekolah MyB2S di Johor Bahru.

Ketika ini, sebanyak 339 sekolah di seluruh negara mempunyai persatuan kadet JPJ, terdiri daripada 23,620 pelajar. Daripada jumlah itu, 30 buah sekolah dengan 2,087 merupakan di Johor.