IPGM jalankan siasatan kes buli babitkan pelatih

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sebuah kampus institusi tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPGM memandang serius insiden buli dan tidak berkompromi terhadap salah laku yang mencemarkan imej profesion perguruan.
  • Tindakan tatatertib, termasuk buang daripada institusi, akan dikenakan terhadap pelatih yang didapati bersalah.
  • IPGM komited memastikan persekitaran pembelajaran selamat, berdisiplin dan bebas daripada sebarang bentuk buli.

IPGM dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang mencemarkan imej profesion perguruan.

Menurut kenyataan itu, tindakan tatatertib termasuk hukuman buang daripada institusi akan dikenakan terhadap mana-mana pelatih yang didapati bersalah selepas siasatan selesai dijalankan.

“IPGM memandang serius kejadian buli di sebuah kampus IPGM seperti yang dilaporkan media pada hari ini.

“IPGM tidak berkompromi dengan salah laku buli. Pelatih guru perlu berdisiplin serta menunjukkan akhlak dan sahsiah yang baik sebagai bakal pendidik,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan insiden buli yang melibatkan pelatih senior terhadap pelatih junior di sebuah Institut Pendidikan Guru di Kuching, Sarawak sejak dua hari lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan dikatakan melibatkan sekumpulan pelatih senior terhadap pelatih lelaki sesi 2025/2030, namun perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa institut bagi pengesahan lanjut.

IPGM menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan bebas daripada sebarang bentuk buli.