
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Cadangan menempatkan anggota keselamatan di setiap sekolah sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan pelajar, sedia dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
- KPM sedang memuktamadkan garis panduan keselamatan baharu untuk meningkatkan prosedur di sekolah.
- Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah melibatkan PDRM dan NGO untuk mendapatkan pandangan serta nasihat keselamatan.
- KPM mengarahkan pengetua, guru besar, ibu bapa dan PIBG melaksanakan langkah keselamatan tegas serta menyelaraskan pengawasan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan keselamatan baharu bagi menambah baik prosedur sedia ada di sekolah.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan menerusi penglibatan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah yang turut disertai pelbagai pihak berkepakaran.
Katanya, jawatankuasa berkenaan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan aspek keselamatan di sekolah.
“Sebenarnya isu ini memang sentiasa menjadi perhatian kita. Sebab itu di sekolah, kita sangat menekankan soal berkaitan keselamatan dan kita tidak kompromi dalam perkara ini.
“Peringatan sentiasa diberikan setiap kali perbincangan mengenai keselamatan sekolah diadakan. Kita juga sudah mengarahkan semua pengetua dan guru besar supaya mengambil langkah keselamatan secara tegas selain mengingatkan pelajar setiap hari.
“Begitu juga dengan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), supaya semua langkah keselamatan ini dapat diselaraskan termasuk keperluan yang telah disebutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) di AICC Mount Austin, di sini.
Sebelum ini, isu keselamatan pelajar mendapat perhatian susulan beberapa insiden kemalangan membabitkan murid sekolah di kawasan berhampiran institusi pendidikan.
Pada 12 April lalu, seorang pelajar tingkatan satu dilaporkan maut selepas dirempuh sebuah kereta berhampiran Surau Perempuan dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan.
Manakala pada 5 Mei lalu, seorang murid perempuan tahun dua turut maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pagar utama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.
Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai cadangan daripada masyarakat termasuk keperluan memperketat kawalan lalu lintas, menambah pengawasan keselamatan serta memperkukuh prosedur keselamatan di kawasan sekolah.