Bahas PPM terus asah pemikiran kritis, kemahiran berhujah murid

Rose Aza Che Ariffin/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 September- Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) terus menjadi platform penting dalam mengasah pemikiran kritis dan kemahiran berhujah murid, selain membentuk keupayaan mereka menganalisis fakta serta mempertahankan hujah secara berhemah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan melibatkan 92 sekolah, termasuk 72 Sekolah Berasrama Penuh.
  • Setiap pusingan mempunyai usul berbeza dan memerlukan pasukan melalui pelbagai peringkat.
  • Rose Aza menekankan peserta perlu mempunyai daya fikiran kuat untuk menganalisis fakta dan berhujah.
  • KPM berharap lebih banyak sekolah menyertai; peringkat akhir edisi ke-51 dijadual 10 September.

Pengarah Bahagian Pengurusan Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Rose Aza Che Ariffin berkata pertandingan itu tahun ini melibatkan 92 sekolah termasuk 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Beliau berkata penyertaan dalam pertandingan bahas memerlukan peserta mempunyai daya pemikiran yang kuat, khususnya ketika berhujah dan menganalisis fakta yang dikemukakan.

“Ia memerlukan daya fikiran yang kuat, terutamanya semasa berhujah dan bagaimana murid dapat menganalisis fakta yang dikemukakan dengan betul.

“Setiap pusingan mempunyai usul yang berbeza dan memerlukan setiap pasukan melalui pelbagai peringkat,” katanya.

Rose Aza berkata kemahiran berfikir secara kritis penting bagi membolehkan peserta membina hujah yang kukuh selain memberi respons terhadap hujah pihak lawan.

Menurutnya, pertandingan itu juga dapat membentuk adab ketika berhujah apabila peserta perlu mengemukakan pandangan dan menyangkal hujah pihak lawan secara berhemah.

Beliau berkata KPM berharap lebih banyak sekolah akan mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan pada masa akan datang.

Pertandingan Bahas PPM edisi ke-51 kini sedang berlangsung dengan peringkat akhir dijadualkan pada 10 September ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.