
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Penggubalan Akta E-Dagang baharu perlu disegerakan bagi memastikan ekosistem perdagangan digital negara lebih sihat, selain memperkukuh perlindungan pengguna serta memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga tempatan bersaing secara lebih adil.
- Menutup kelompongan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem digital yang kompleks serta transaksi rentas sempadan.
- Melindungi PMKS dan peniaga tempatan daripada persaingan tidak seimbang serta memastikan perdagangan asing memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
- Memperjelas tanggungjawab platform dan pematuhan penjual asing untuk menangani penipuan, produk tidak selamat dan pertikaian pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ia penting bagi memastikan kerangka e-dagang negara bergerak seiring perkembangan teknologi serta perubahan cara rakyat membeli dan berniaga ketika ini.
“Akta E-Dagang ini perlu disegerakan. Kita bukan hanya bercakap soal harga murah, tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Usaha itu juga penting bagi menutup kelompongan yang masih ada dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya dari sudut perlindungan pengguna dalam ekosistem digital yang semakin kompleks dan melibatkan transaksi rentas sempadan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan PMKS dan peniaga tempatan tidak berdepan persaingan yang tidak seimbang akibat kemasukan pemain luar.
“Kita perlu melindungi PMKS dan peniaga tempatan. Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, penjual asing yang berniaga kepada pengguna Malaysia perlu mempunyai tahap tanggungjawab dan pematuhan yang jelas bagi melindungi pengguna sekiranya berlaku penipuan, penjualan produk tidak selamat atau pertikaian.
Tanggungjawab platform e-dagang turut perlu diperjelaskan kerana platform ketika ini bukan lagi sekadar tempat menemukan penjual dan pembeli, sebaliknya mempunyai pengaruh besar dalam menentukan bagaimana produk dipasarkan, dijual dan sampai kepada pengguna.
“Pengaruhnya semakin besar dalam menentukan bagaimana produk dipasarkan, dijual dan sampai kepada pengguna.
“Selain itu, perdagangan dan penyertaan asing perlu memberi nilai tambah kepada Malaysia, termasuk membawa pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.
“Ia juga perlu membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan,” katanya lagi.
Kenyataan beliau turut menegaskan, pendekatan terhadap e-dagang tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut menyediakan harga murah kepada pengguna, sebaliknya perlu mengambil kira kelangsungan peniaga tempatan serta pembangunan ekosistem perdagangan digital negara dalam jangka panjang.
Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempercepat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi menambah baik aspek kemudahan dan kawal selia sektor berkenaan, selaras dengan kepesatan perniagaan digital masa kini.
Menurutnya langkah itu penting bagi memastikan ekosistem e-dagang berkembang secara teratur, di samping memberikan kemudahan dan perlindungan kepada semua pihak, termasuk golongan muda serta usahawan baharu.