
FRANKFURT, 27 Ogos – Dua pekerja Lapangan Terbang Frankfurt di Jerman, meninggal dunia selepas dijangkiti malaria yang dipercayai berpunca daripada nyamuk yang dibawa masuk melalui sebuah pesawat.
- Lima pesakit kini sedang menerima rawatan di hospital.
- Institut Robert Koch berkata kes seumpama ini jarang berlaku, diagnosis kadangkala tertangguh dan meningkatkan risiko gejala lebih serius.
- Perangkap nyamuk dipasang di lapangan terbang; nyamuk ditangkap dihantar ke Institut Perubatan Tropika Antwerp untuk ujian genetik.
- Rawatan tersedia; pesakit yang dikesan awal lazimnya boleh pulih sepenuhnya.
Sebelum ini, jurucakap lapangan terbang berkata, seorang pekerja dilaporkan maut, manakala enam lagi dijangkiti.
Lima pesakit kini sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut Institut Robert Koch (RKI), nyamuk Anopheles yang dibawa masuk oleh pesawat dari luar negara dipercayai menjadi punca jangkitan.
“Kali terakhir wabak malaria dilaporkan dari lapangan terbang Jerman ialah pada 2023.
“Kes seumpama itu jarang berlaku, menyebabkan diagnosis kadangkala tertangguh dan meningkatkan risiko pesakit mengalami gejala yang lebih serius, ” menurut RKI.
Perangkap nyamuk telah dipasang di lapangan terbang, manakala nyamuk yang berjaya ditangkap akan dihantar ke Institut Perubatan Tropika di Antwerp, Belgium, untuk ujian genetik bagi mengenal pasti asalnya.
Malaria disebabkan parasit yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles, dengan gejala termasuk loya, sakit kepala serta demam dan menggigil yang teruk.
Penyakit itu meragut ratusan ribu nyawa setiap tahun, terutama di sub-Sahara Afrika.
Rawatan tersedia dan pesakit yang dikesan pada peringkat awal, lazimnya boleh pulih sepenuhnya. – AFP