
NEW DELHI, 27 Ogos – Usaha bantuan antarabangsa dilancarkan pada Rabu bagi menyalurkan bantuan ke Nepal, beberapa jam selepas banjir besar berhampiran sempadan Tibet meragut ratusan nyawa.
- IFRC lapor beberapa penempatan musnah termasuk kampung dan pasar; dana kecemasan AS$1.4 juta diperuntukkan untuk operasi bantuan.
- Bantuan awal merangkumi bekalan air minuman, selimut, kit pertolongan cemas, pengusung dan beg mayat untuk mangsa.
- EU mengaktifkan sistem satelit Copernicus untuk menyokong pemulihan dan sedia menyalurkan bantuan lanjut.
- India hantar 10 tan barang bantuan awal; Tentera Udara akan menghantar lebih banyak dan menyediakan helikopter untuk operasi menyelamat.
Banjir dan tanah runtuh menyebabkan arus deras membawa air serta sisa runtuhan dari sebuah sungai di antara China dengan Nepal, sebelum menimbus bangunan dengan lumpur.
Ketua Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Nepal, David Fisher dalam kenyataan berkata, bencana itu telah menyebabkan beberapa penempatan musnah sepenuhnya, termasuk sebuah kampung dan kawasan pasar.
IFRC memaklumkan, sebanyak AS$1.4 juta dolar atau satu juta franc Swiss diperuntukkan sebagai dana kecemasan bagi menyokong operasi bantuan.
Bantuan awal merangkumi bekalan air minuman serta keperluan kecemasan seperti selimut, kit pertolongan cemas, pengusung dan beg mayat.
“Keutamaan ketika ini adalah untuk sampai ke komuniti terjejas dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal, cedera atau terputus hubungan akibat bencana, ” menurut Fisher.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) telah mengaktifkan sistem pemantauan satelit Copernicus yang akan membantu usaha pemulihan selepas banjir di Nepal, selain bersedia menyalurkan bantuan lanjut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula telah menghantar bekalan perubatan kecemasan ke kawasan terjejas.
“India juga menghantar bantuan kemanusiaan awal seberat 10 tan, termasuk selimut, lampu solar dan ubat-ubatan, ” kata Menteri Luarnya, Subrahmanyam Jaishankar.
“Tentera Udara India akan menghantar lebih banyak bekalan bantuan menggunakan pesawat pengangkut tentera.
“Beberapa helikopter turut disediakan bagi menjalankan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa, ” tambah beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menyuarakan kesediaan negaranya menyalurkan segala bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan kepada Nepal.
India turut meningkatkan kesiapsiagaan pasukan penyelamat di negeri Bihar dan Uttar Pradesh yang bersempadan dengan Nepal.
“Pasukan berkenaan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang keperluan operasi menyelamat,” kata Menteri Dalam Negerinya, Amit Shah.
Selain India, Bangladesh juga menyatakan kesediaan membantu Nepal dalam apa jua cara bagi menjayakan usaha bantuan dan menyelamat. – AFP