Banjir besar Nepal-Tibet: 160 maut, ratusan masih hilang

Pasukan penyelamat berjaya menemukan seorang warga emas yang terselamat dalam banjir dahsyat di sempadan Nepal-Tibet – Foto AFP

KATHMANDU, 27 Ogos – Angka korban banjir besar di sempadan Nepal-Tibet meningkat kepada sekurang-kurangnya 160.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis dan pasukan penyelamat menemui banyak mayat; pemindahan penduduk di kawasan berisiko ke lokasi lebih selamat diteruskan.
  • Beratus-ratus masih hilang, kebanyakannya pelancong; pasukan meredah lumpur dan selut mencari mangsa terselamat.
  • Kementerian Pelancongan: 403 pelancong, termasuk 341 warga asing, belum dapat dikesan beberapa jam selepas bencana.
  • Beberapa penempatan musnah sepenuhnya; gelombang lumpur dan runtuhan menghanyutkan lori serta bas; media China lapor korban dan hilang di Tibet.

Polis Nepal pada Rabu memaklumkan, sebanyak 157 mayat telah ditemukan di kawasan bencana dengan usaha memindahkan penduduk di kawasan berisiko banjir ke lokasi lebih selamat, giat dijalankan.

Pasukan penyelamat turut meredah lumpur dan selut bagi mencari mangsa yang terselamat selepas air banjir menenggelamkan tingkat bawah bangunan bertingkat.

Manakala, beratus-ratus lagi individu dilaporkan masih hilang, kebanyakannya pelancong.

Kementerian Pelancongan Nepal memaklumkan, seramai 403 pelancong, termasuk 341 warga asing, belum dapat dikesan beberapa jam selepas bencana berlaku.

Pelancong asing yang hilang termasuk 142 warga India, selain warga Australia, Britain, Malaysia, Belanda, Portugal, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Petugas bantuan memaklumkan beberapa penempatan musnah sepenuhnya, selepas gelombang lumpur dan runtuhan setinggi bangunan melanda kawasan sempadan.

Rakaman pemantauan yang disahkan AFP menunjukkan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri ketika arus deras membawa lumpur dan runtuhan menghanyutkan lori serta bas.

Dalam pada itu, media kerajaan China melaporkan tiga maut manakala 265 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hab perdagangan di sempadan Tibet. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.