
NUWAKOT, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 98 orang maut dalam bencana banjir dan tanah runtuh besar di sempadan Nepal-Tibet pada Rabu, manakala ratusan lagi masih hilang, termasuk pelancong asing.
- Rakaman CCTV tunjukkan aliran lumpur setinggi beberapa tingkat melanda, mengheret lori dan bas, ramai melarikan diri.
- Kira-kira 403 pelancong termasuk 341 warga asing dilaporkan hilang, warganegara termasuk AS, India, Malaysia, Britain dan Australia.
- Punca dijangka tanah runtuh menyekat sungai menyebabkan banjir berangkai; operasi menyelamat berjalan, tentera selamatkan 114 orang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disahkan AFP menunjukkan puluhan orang melarikan diri ketika aliran lumpur dan serpihan setinggi beberapa tingkat melanda kawasan sempadan di sebelah China, mengheret lori dan bas dalam kejadian itu.
Media kerajaan China melaporkan “korban besar” akibat tanah runtuh di sebuah hab perdagangan di Tibet, dengan tiga orang maut dan 265 lagi dilaporkan hilang.
Sementara Perdana Menteri Nepal Balendra Shah berikrar kerajaan akan berusaha semaksimumnya dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa bencana itu.
“Kesakitan dan kehilangan yang anda alami bukanlah kecil. Namun, saya ingin memberi jaminan bahawa anda tidak bersendirian dalam masa yang sukar ini, negara bersama anda dengan segala cara dan sumber yang ada,” katanya dalam media sosial.
Polis Nepal sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 95 orang maut, dengan pasukan penyelamat meredah lumpur dan selut bagi mencari mangsa yang terselamat selepas banjir menimbus tingkat bawah beberapa bangunan.
Kira-kira 403 pelancong, termasuk 341 warga asing, dilaporkan tidak dapat dikesan beberapa jam selepas bencana berlaku, menurut Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam Nepal.
Lembaga Pelancongan Nepal berkata warga Amerika Syarikat, India, Malaysia, Britain dan Australia antara yang masih tidak dapat dikesan, selain 62 pengembara warga Nepal.
Menteri Luar Nepal Shishir Khanal berkata gempa bumi berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang kemudiannya menyekat aliran sungai, menyebabkan air mengalir deras ke kawasan hilir.
Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Negara Nepal, berkata data satelit Planet Labs menunjukkan tanah runtuh membabitkan salji dan batuan di sempadan Nepal-China berkemungkinan menjadi punca banjir berkenaan.
Sementara itu, Tentera Nepal melakukan operasi penerbangan dan telah menyelamatkan 114 orang di daerah Rasuwa, antara kawasan paling teruk terjejas, menurut pejabat Perdana Menteri.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Elektrik Nepal berkata kira-kira 430 megawatt kapasiti pengeluaran elektrik, termasuk daripada kemudahan hidroelektrik dan solar, mengalami kerosakan.
“Bencana itu telah merosakkan kemudahan pengeluaran, penghantaran dan pengagihan pihak berkuasa… menyebabkan bekalan elektrik terganggu,” katanya.
Penganalisis penderiaan jauh dan geoinformasi di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), Sarthak Shrestha, berkata penilaian awal menunjukkan “tiada anomali” dari sebelah sempadan China.
“Kami percaya runtuhan batu dan ais berlaku di Nepal, menyekat Sungai Lhende dan menyebabkan kejadian banjir berangkai,” katanya kepada AFP.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berpindah ke kawasan lebih selamat, manakala kebimbangan turut timbul bahawa sekatan aliran sungai yang masih berlaku boleh mencetuskan satu lagi banjir besar. – AFP