17 rakyat Malaysia antara ratusan yang hilang susulan banjir besar di Nepal

Bangunan dilitupi lumpur susulan bencana banjir di Trishuli di wilayah Nuwakot, Nepal./ REUTERS

HYDERABAD, 26 Ogos – Seramai 17 rakyat Malaysia antara ratusan warga asing yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan di daerah Rasuwa, Nepal pada pagi Rabu, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Urusan perjalanan rakyat Malaysia yang hilang diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.
  • Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal tidak dapat dihubungi; polis dan pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka.
  • Banjir limpahan Sungai Bhote Koshi memusnahkan kampung, jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure.

Lembaga itu dalam satu kenyataan memaklumkan urusan perjalanan rakyat Malaysia yang hilang berkenaan diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.

Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal tidak dapat dihubungi, manakala polis dan pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka, menurut lembaga itu dalam kemas kini situasi pada sebelah petang.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini memaklumkan 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa dilaporkan terputus hubungan susulan banjir berkenaan.

Kementerian itu memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan.

“Pasukan mencari dan menyelamat yang kini dikerahkan oleh kerajaan Nepal sedang berusaha mengesan rakyat Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” menurut kementerian itu.

Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi menghanyutkan banyak kampung serta memusnahkan jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure, Nepal.

Warga asing lain yang terputus hubungan termasuk 142 warga India, dengan 37 daripadanya menetap di luar negara, serta ramai warga Britain, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (AS). – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.