Bencana banjir Nepal: Angka korban meningkat kepada 95 orang

Foto AFP

KATHMANDU, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 95 orang disahkan maut manakala 28 anggota polis masih hilang selepas banjir besar melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Rabu, menurut polis Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan; tentera turun tangan dengan helikopter dan pasukan tindak balas bencana.
  • 384 pelancong masih belum dapat dikesan, termasuk 291 warga asing dari AS, India, Britain, Australia dan Malaysia.
  • Kira-kira 430 megawatt kapasiti penjanaan rosak, menjejaskan kemudahan hidroelektrik dan solar serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Jurucakap polis, Abi Narayan Kafle, berkata angka korban terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan terjejas yang dilanda arus deras, lumpur dan timbunan serpihan.

Bencana itu berlaku apabila arus lumpur dan serpihan melimpah keluar dari tebing sungai di kawasan sempadan China-Nepal, memusnahkan bangunan serta mencetuskan usaha menyelamat besar-besaran di kedua-dua belah sempadan.

Sementara itu, media China turut melaporkan berlaku korban besar akibat kejadian tanah runtuh di hab perdagangan Gyirong, Tibet.

Terdahulu, Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan seramai 384 pelancong dan pengembara masih belum dapat dikesan, termasuk 291 warga asing daripada beberapa negara seperti Amerika Syarikat, India, Britain, Australia dan Malaysia.

Tentera Nepal telah mengerahkan helikopter serta pasukan tindak balas bencana ke lokasi kejadian.

Manakala pihak berkuasa China turut melancarkan operasi menyelamat besar-besaran selepas Presiden Xi Jinping mengarahkan usaha menyelamat dilaksanakan secara menyeluruh.

Bencana itu turut menjejaskan infrastruktur tenaga apabila Pihak Berkuasa Elektrik Nepal memaklumkan kira-kira 430 megawatt kapasiti penjanaan elektrik, termasuk kemudahan hidroelektrik dan solar, mengalami kerosakan yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Penganalisis penderiaan jauh dan geoinformasi di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), Sarthak Shrestha, berkata penilaian awal tidak menemukan petunjuk luar biasa dari sebelah China dan berkemungkinan kejadian berpunca daripada runtuhan batu dan ais yang menyekat Sungai Lhende sebelum mencetuskan banjir besar. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.