
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sektor komponen automotif tempatan, khususnya pengeluar komponen kritikal, disaran untuk meneroka peluang dalam teknologi humanoid sebagai antara bidang pertumbuhan baharu.
- MARii diminta meneliti potensi teknologi humanoid dan memulakan penelitian tanpa pelan jelas setakat ini.
- Humanoid dianggap langkah seterusnya selepas robotik kilang, membuka peluang bagi pembekal komponen ke segmen teknologi bernilai tinggi.
- Syarikat tingkatkan kandungan tempatan, pembangunan bakat dan R&D akan terima insentif cukai lebih besar; NCM disemak untuk selaraskan ICE dan EV.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, teknologi itu berkait rapat dengan industri automotif dan membuka peluang kepada pengeluar komponen tempatan menyertai segmen teknologi bernilai tinggi.
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah diminta meneliti potensi industri berkenaan serta peluang yang boleh dimanfaatkan oleh vendor dan pembekal komponen kritikal tempatan.
“Jadi, saya sudah meminta MARii untuk melihat potensi teknologi humanoid. Buat masa ini, mereka belum mempunyai pelan yang jelas, tetapi saya sudah meminta mereka memulakan penelitian dalam bidang itu.
“Ini bagi melihat bagaimana vendor tempatan dan pembekal komponen kritikal boleh memanfaatkan trend masa depan yang sangat transformatif ini.
“Ia bukan sekadar robotik. Industri automotif kita sudah terlibat dalam robotik kilang dan kilang pintar, jadi langkah seterusnya ialah meneroka teknologi humanoid,” katanya selepas pelancaran Global Automotive and Technology Expo 2026, GATE 2026 di ibu negara.
Syarikat automotif yang meningkatkan penggunaan kandungan tempatan, melaksanakan pembangunan bakat serta memperluas aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan menerima insentif cukai lebih besar, termasuk pengurangan duti eksais.
Pada masa sama kerajaan sedang menyemak semula Mekanisme Tersuai Baharu (NCM) supaya lebih mudah dan kurang kompleks, dengan penekanan kepada peningkatan kandungan tempatan dalam industri automotif.
Mekanisme itu turut akan menyelaras pendekatan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV) di bawah satu kerangka yang lebih mudah dan tersusun.