IPPFA naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia kepada 5.4 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Firma penasihat kewangan IPPFA Sdn Bhd menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.4 peratus berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan disebabkan prestasi separuh pertama lebih kukuh dan daya tahan ekonomi melebihi jangkaan walaupun tekanan geopolitik, harga tenaga dan kadar faedah tinggi.
  • Asas pertumbuhan meluas: eksport, pelaburan dan permintaan domestik menyokong paras pertumbuhan asas lebih tinggi.
  • IPPFA juga menyemak naik unjuran kadar pertukaran kepada RM4.02 dan menaikkan sasaran KLCI akhir 2026 kepada 1,800 mata.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan berkata, semakan itu dibuat susulan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini serta penilaian semula terhadap dinamik asas pertumbuhan ekonomi.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026 dan enam peratus pada suku kedua, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini sekitar 5.7 peratus.

“Prestasi lebih kukuh dilihat ketara mengambil kira ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, harga tenaga yang lebih tinggi serta persekitaran kadar faedah global yang masih ketat.

“Semakan naik unjuran itu bukan semata-mata disebabkan pertumbuhan 6.0 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2026. Perkembangan yang lebih penting ialah Malaysia telah mempamerkan daya tahan ekonomi yang lebih tinggi daripada andaian sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Asas pertumbuhan telah berkembang merentasi eksport, pelaburan dan permintaan domestik, sekali gus memberikan paras pertumbuhan asas yang lebih tinggi bagi ekonomi memasuki separuh kedua tahun ini.

Bagaimanapun, IPPFA tidak menjangkakan kadar pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua dapat dikekalkan.

Sebaliknya firma itu meramalkan pertumbuhan menyederhana kepada 5.1 peratus pada suku ketiga dan 4.8 peratus pada suku keempat 2026, susulan normalisasi permintaan luaran dan kesan asas.

Sementara itu, firma berkenaan turut menyemak naik unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit pada akhir 2026 kepada 4.02 daripada 4.05, didorong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pendapatan eksport yang berdaya tahan, inflasi terkawal serta asas luaran yang bertambah baik.

“Eksport yang lebih kukuh menyediakan sumber pendapatan pertukaran asing yang bersifat struktur, manakala pelaburan dalam sektor pembuatan, infrastruktur digital dan aktiviti berkaitan mengukuhkan kapasiti produktif Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Susulan asas ekonomi domestik yang lebih kukuh serta prospek pendapatan yang lebih jelas, IPPFA turut menaikkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI bagi akhir 2026 kepada 1,800 mata daripada 1,780 mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.