4.2% unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 di rantau Asia-Pasifik

Konflik di Asia Barat dijangka reda dan lonjakan inflasi sepatutnya bersifat sementara/Foto AFP

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pertumbuhan ekonomi di rantau Asia-Pasifik diunjur sederhana kepada 4.2 peratus, tahun ini daripada 4.3 peratus pada 2025, menurut Moody’s Analytics.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan dijangka melambat menjelang 2027.
  • Kepesatan AI menampan kelemahan, memacu eksport semikonduktor dan produk teknologi di Taiwan, Korea Selatan, China dan Asia Tenggara.
  • Kejutan geopolitik dan tarif import meningkatkan harga; konflik Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz menambahkan tekanan inflasi.
  • Bank pusat mengetatkan dasar monetari; lebih ketat mungkin jika konflik berlanjutan dan harga minyak kekal tinggi, walau inflasi dijangka sementara.

Firma itu turut menyatakan, pertumbuhan seterusnya dijangka terus perlahan kepada 3.6 peratus pada 2027.

“Harga yang lebih tinggi dan dasar lebih ketat bakal menjejaskan permintaan, dengan ekonomi Asia-Pasifik berkembang dalam dua momentum yang berbeza.

“Lonjakan kecerdasan buatan (AI) telah menjadi penampan kepada penurunan pertumbuhan yang lebih ketara, namun cabaran terhadap pertumbuhan terus meningkat.

”Kepesatan AI juga sedang memacu enjin eksport di rantau ini dengan permintaan tinggi kepada semikonduktor dan produk teknologi lain mendorong penghantaran di Taiwan, Korea Selatan, China dan sebahagian Asia Tenggara, sekali gus mengimbangi kelemahan di kawasan lain,” jelas firma itu dalam nota penyelidikan.

Tambah firma itu lagi, kejutan geopolitik dan perdagangan terus meningkatkan harga ekoran konflik di Asia Barat yang berlarutan, Selat Hormuz yang masih ditutup serta tarif import baharu Amerika Syarikat yang mula memberi kesan.

Moody’s Analytics menjelaskan, bank-bank pusat ketika ini mengetatkan dasar monetari secara sederhana, namun dasar lebih ketat berkemungkinan dilaksana jika konflik berlarutan dan harga minyak kekal tinggi.

Menurutnya, inflasi yang lebih tinggi mengukuhkan alasan untuk melaksanakan dasar yang lebih ketat khususnya dengan ledakan AI mendorong pertumbuhan yang kekal kukuh dan harga aset meningkat terlalu tinggi.

Bagaimanapun, firma tersebut yakin konflik di Asia Barat dijangka reda dan lonjakan inflasi sepatutnya bersifat sementara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.