
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Cadangan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibentangkan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada Jemaah Menteri minggu depan.
- Langkah segera merangkumi kebebasan mahasiswa, kebebasan akademik dan kebebasan penerbitan.
- Tempoh dua bulan diberikan untuk siapkan rangka undang-undang dengan penglibatan pakar, akademik, persatuan dan naib canselor.
- Kerajaan mensasarkan rangka selesai dan dibentangkan sebelum akhir persidangan Parlimen pada akhir November.
- Perdana Menteri akan berbincang dengan Speaker untuk jadual khas, termasuk pembentangan selepas Belanjawan 2027 jika perlu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah segera akan dilaksanakan merangkumi aspek kebebasan mahasiswa, kebebasan akademik serta kebebasan penerbitan.
“Kita berikan tempoh dua bulan untuk disiapkan. Semua pakar dan ahli akademik ada di sini jadi saya fikir kita gabung dan manfaatkan kepakaran akademik dan sains, persatuan akademik serta para naib canselor.
“Saya tidak fikir kita harus berbeza pendapat dari segi kerangka besar,” beliau berkata demikian ketika berucap sebagai moderator pada Forum Ilmuwan Malaysia (FIM) MADANI siri ke-13, di sini.
Tambah Datuk Seri Anwar, kerajaan menyasarkan kerangka berkenaan disiapkan dan dibentangkan sebelum berakhirnya persidangan parlimen tahun ini.
“Perkara itu boleh diselesaikan sebaik-baiknya sebelum berakhirnya persidangan parlimen pada akhir November ini.
Saya akan tentukan perkara itu dan berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat untuk menetapkan jadual khas, termasuk jika perlu dibentangkan selepas pembentangan Belanjawan (2027), malah sehingga penghujung persidangan,” katanya.
Forum yang mengangkat tema “Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU” itu menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen sebagai panel.