
NUWAKOT/ GYIRONG, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 384 pelancong dan pengembara dilaporkan hilang selepas banjir kilat besar mencetuskan tanah runtuh melanda sempadan Nepal-China, hari ini, dengan lapan kematian disahkan.
- Operasi mencari dan menyelamat berskala besar dilancarkan di kedua-dua belah sempadan, helikopter dan pasukan tempatan turut dikerahkan.
- Jalan menuju Pelabuhan Gyirong terputus, telekomunikasi dan bekalan elektrik terjejas, beberapa balai polis dan rumah dihanyutkan.
- Amaran kecemasan dikeluarkan hingga ke daerah hilir termasuk Chitwan; hospital dikosongkan untuk menempatkan mangsa cedera, mesyuarat kabinet tergempar.
Lembaga Pelancongan Nepal (NTB) berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mangsa yang hilang dilaporkan berada di kawasan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat berskala besar dilancarkan di kedua-dua belah sempadan, manakala pihak berkuasa berusaha mengesahkan lokasi serta status keselamatan pelancong dan pengembara yang berada atau melalui kawasan berkenaan.
Mereka yang dilaporkan hilang termasuk warga Nepal, India, United Kingdom, Afrika Selatan, Australia dan Belanda, sementara kewarganegaraan sebahagian lagi masih belum dikenal pasti.
Polis Nepal berkata lapan mayat ditemukan di daerah Nuwakot dan Dhading, manakala beberapa balai polis, pejabat kastam serta rumah persendirian dihanyutkan banjir.
Pihak berkuasa turut bimbang jumlah mangsa yang hilang mungkin bertambah.
Di China, agensi berita rasmi Xinhua melaporkan tanah runtuh berlaku berhampiran Pelabuhan Gyirong, sebuah pintu masuk darat utama yang menghubungkan kedua-dua negara di Wilayah Autonomi Xizang, juga dikenali sebagai Tibet.
Menurut Xinhua, bencana itu menyebabkan jalan menuju pelabuhan di sebelah China terputus, selain menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi dan bekalan elektrik.
Amaran kecemasan turut dikeluarkan kepada komuniti di kawasan hilir sehingga ke Chitwan, daerah yang bersempadan dengan India.
Pasukan penyelamat termasuk helikopter dikerahkan, dengan anggota agensi keselamatan dan penduduk tempatan turut menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Jurucakap Angkatan Polis Bersenjata Nepal, Shailendra Thapa, berkata limpahan tasik glasier di kawasan hulu Sungai Bhotekoshi mungkin menjadi punca banjir dan kemusnahan berkenaan.
Di Kathmandu, hospital kerajaan serta kemudahan perubatan kendalian agensi keselamatan dikosongkan untuk menempatkan mangsa yang cedera.
Mesyuarat Kabinet tergempar sedang berlangsung, manakala Menteri Dalam Negeri Sudhan Gurung dijangka memberi taklimat kepada Parlimen berhubung jumlah kerugian dan kerosakan di kawasan terjejas.
Kawasan Rasuwagadhi menjadi laluan penting bagi pelancong yang menuju ke kawasan trekking Langtang, antara destinasi pendakian popular Nepal.
Ia turut menjadi laluan pengembara yang menuju ke Gunung Kailash dan Tasik Mansarovar di China. – REUTERS