JDT pesta gol, Zaheditabar ledak empat gol

Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 26 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi bertenaga apabila membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 9-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zaheditabar Shahab meledak empat gol dan menjadi watak utama kemenangan JDT.
  • Gol lain termasuk jaringan sendiri Muhammad Mohd Fauzi, serta Jairo, Matias Nahuel, Eddy Israfilov dan Arif Aiman.
  • Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz anggap keputusan positif tetapi mahu perbaiki situasi sepakan penjuru.
  • Ketua jurulatih KRW FC Irfan Bakti akui kekalahan sukar diterima dan harap pemain bangkit.

Penyerang baharu JDT dari Iran, Zaheditabar Shahab, menjadi watak utama kemenangan besar itu apabila meledak empat gol untuk melengkapkan malam gemilang skuad Harimau Selatan di laman sendiri.

Tuan rumah hanya memerlukan dua minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Zaheditabar sebelum penyerang itu menggandakan jaringan pada minit ke-37.

JDT kemudian mendapat gol ketiga menerusi jaringan sendiri pemain KRW FC, Muhammad Mohd Fauzi, pada penghujung separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Jairo da Silva menjaringkan gol keempat menerusi tandukan pada minit ke-49, sebelum Zaheditabar melengkapkan hatrik seminit kemudian untuk meletakkan JDT selesa 5-0 di hadapan.

Zaheditabar terus menambah derita KRW FC apabila meledak gol keempat peribadinya pada minit ke-61.

Matias Nahuel kemudian menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-78, sebelum Eddy Israfilov dan Arif Aiman masing-masing mencetak gol pada minit ke-81 dan ke-89 untuk melengkapkan kemenangan 9-0.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang positif, namun mengakui pasukannya masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, khususnya dalam situasi sepakan penjuru.

“Kami bermain baik dan konsisten pada separuh masa pertama tetapi masih perlu memperbaiki beberapa perkara termasuk situasi sepakan penjuru. Liga baru sahaja bermula dan kami perlu lebih baik terutama ketika berdepan lawan yang lebih kuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KRW FC, Irfan Bakti, mengakui kekalahan besar itu sukar diterima, namun menyifatkannya sebagai sesuatu yang sukar dielakkan berdasarkan kekuatan skuad dimiliki pasukannya ketika ini.

Beliau berharap pemain yang ada mampu bangkit pada aksi akan datang dan memperbaiki prestasi pasukan.

Kekalahan itu menyaksikan KRW FC tewas dalam dua aksi berturut-turut Liga Super selepas turut dibelasah Selangor FC 1-4 pada perlawanan pembukaan musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.