
ALOR SETAR, 26 Ogos – Stadium Darul Aman kembali dibanjiri aura nostalgia apabila barisan lagenda bola sepak Kedah 1993 bersatu semula hari ini, menghidupkan kembali memori era kegemilangan skuad Hijau Kuning yang masih terpahat dalam hati peminat.
- Hampir 300 penyokong hadir memeriahkan sesi, bergambar, mendapatkan tandatangan dan bertemu pemain lagenda.
- Bekas import seperti Peter Nieketein, Olubumi Adigun dan Tibor Szaban terus mencuri perhatian peminat.
- Pertemuan selepas 33 tahun dipuji sebagai detik bermakna, mengimbau kenangan dan memberi peluang generasi baru menyaksikan lagenda.
Hampir 300 penyokong hadir memeriahkan sesi bersama peminat sempena Merdeka Cup Nostalgia 1993, selain mengambil peluang bergambar, mendapatkan tandatangan dan bertemu secara dekat dengan pemain yang pernah mencipta sejarah bola sepak negeri itu.
Antara bekas pemain import yang mencuri perhatian ialah Peter Nieketein, Olubumi Adigun dan Tibor Szaban, yang pernah menjadi antara tonggak penting Kedah pada era 1990-an.
Penaung Merdeka Cup, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pertemuan semula barisan pemain selepas lebih tiga dekad itu bukan sekadar acara nostalgia, sebaliknya menjadi wadah mengembalikan memori kejayaan Kedah yang pernah menjadi siulan peminat bola sepak seluruh negara.
“Ini merupakan satu keterujaan secara peribadi apabila dapat melihat semula peminat Kedah dan seluruh negara yang masih mengingati zaman kegemilangan pasukan ketika itu.
“Kedah pernah muncul juara dan menjadi bualan serta siulan peminat bola sepak di seluruh negara. Hari ini, saya amat teruja dan bangga kerana bersama Farizuan, kami dapat mengumpulkan semula barisan pemain lagenda untuk mengimbau kembali detik-detik bersejarah tersebut,” katanya.
Menurutnya, kehadiran hampir 300 peminat membuktikan barisan pemain Kedah 1993 masih mempunyai tempat istimewa dalam hati penyokong, walaupun sudah lebih 30 tahun berlalu.
Sementara itu, Tibor Szaban menyifatkan pertemuan semula selepas 33 tahun sebagai detik yang cukup bermakna, terutama apabila dapat bertemu kembali rakan sepasukan serta peminat yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya di Kedah.
“Saya sangat teruja dapat bertemu semula rakan-rakan sepasukan selepas 33 tahun kerana sudah begitu lama kami tidak bersua.
“Kedah meninggalkan banyak kenangan indah sepanjang kami beraksi di sini dan kenangan itu sentiasa terpahat dalam ingatan. Saya amat gembira dapat bertemu semula dengan mereka dan berharap kita dapat bersama-sama menikmati perlawanan menentang Singapura Sabtu ini di Langkawi,” katanya.
Merdeka Cup Nostalgia 1993 kini memasuki fasa kemuncak apabila semangat dan aura bola sepak era 90-an kembali menghangatkan bumi Kedah.
Pertemuan itu bukan sekadar mengimbau sejarah, tetapi menjadi peluang buat generasi baharu menyaksikan kembali barisan pemain yang pernah mengukir nama Kedah dalam sejarah bola sepak negara.