Malaysia perkukuh kerjasama ASEAN-Jepun dalam pembangunan kejurulatihan

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Malaysia komited memperkukuh pembangunan kejurulatihan di peringkat ASEAN menerusi kerjasama dengan Jepun, dengan 2026 menjadi fasa penting untuk menterjemahkan perancangan kepada pelaksanaan sistem kejurulatihan yang lebih praktikal, mampan dan bersesuaian dengan keperluan setiap negara anggota.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membentuk kerangka pembangunan kejurulatihan kebangsaan yang praktikal, mampan dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap negara ASEAN.
  • Membangunkan pensijilan kejurulatihan tiga peringkat untuk menyediakan laluan pembangunan jurulatih yang progresif dan sistematik di rantau ini.
  • ISN dan AKK sebagai ASEAN Centre of Excellence menyumbang kepakaran, pengalaman dan sumber bagi memperkukuh kapasiti kejurulatihan serantau.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata usaha berkenaan bukan sekadar membangunkan rangka kerja atau garis panduan baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan kerangka pembangunan jurulatih yang praktikal, mampan serta fleksibel mengikut tahap kesediaan dan keperluan pembangunan setiap negara ASEAN.

“Hasrat kita adalah untuk membangunkan kerangka pembangunan kejurulatihan kebangsaan yang praktikal, mampan dan boleh disesuaikan mengikut keadaan, keperluan pembangunan serta tahap kesediaan setiap negara anggota ASEAN,” katanya ketika merasmikan ASEAN-Japan Action on Sports: 2026 Workshop di sini, hari ini.

Beliau berkata antara objektif utama bengkel itu adalah membangunkan kerangka pensijilan kejurulatihan tiga peringkat bagi menyediakan laluan pembangunan jurulatih secara progresif dan sistematik di rantau ASEAN.

Katanya, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pembentukan model kejurulatihan serantau yang praktikal dan relevan, selain menetapkan parameter kurikulum bagi jurulatih Tahap Satu yang boleh disesuaikan dengan persekitaran sukan setiap negara.

“Kejurulatihan moden bukan sekadar berkaitan pengetahuan teknikal, sebaliknya melibatkan pemahaman terhadap atlet, komunikasi berkesan, mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bermakna serta membantu atlet mencapai potensi mereka,” katanya.

Mordi berkata pembangunan sistem kejurulatihan yang kukuh amat penting bagi memastikan atlet ASEAN mampu bersaing dan mencipta kejayaan secara konsisten di peringkat tertinggi.

Beliau berkata Malaysia, menerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) yang berperanan sebagai ASEAN ‘Centre of Excellence for Sport Coaching’, komited menyumbang kepakaran, pengalaman serta sumber dalam usaha memperkukuh kapasiti kejurulatihan serantau.

Menurutnya, kerjasama ASEAN-Jepun itu merupakan kesinambungan Deklarasi Chiang Mai, Thailand yang diterima pada 2023 sebagai landasan bersama untuk memperkukuh kerjasama sukan ASEAN-Jepun sehingga 2030.

Katanya, kerjasama berkenaan berkembang secara berperingkat sejak 2024 menerusi perkongsian sistem pembangunan dan pendidikan kejurulatihan Jepun, sebelum memberi tumpuan kepada pembangunan program praktikal serta pendekatan berteraskan atlet dan pembelajaran pada 2025.

“Bagi 2026, kerjasama ini memasuki fasa pelaksanaan dengan matlamat memastikan pertukaran pengetahuan, pengalaman dan perbincangan yang dijalankan dapat diterjemahkan kepada tindakan serta penyelesaian yang boleh dilaksanakan di negara masing-masing,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.