Pelajar terjatuh dari tingkat tiga kini sedar, terima rawatan rapi – JPN Kedah

Foto Jabatan Pendidikan Negeri Kedah

ALOR SETAR, 6 Oktober – Pelajar lelaki yang parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di daerah Kulim, Ahad lalu, kini sedar dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di hospital.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN Kedah memantau rapat situasi dan memastikan tindakan segera oleh sekolah serta PPD termasuk hubungi waris, buat laporan polis dan sokongan psikososial.
  • PDRM dapati awal pelajar dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik; siasatan masih berjalan dengan kerjasama penuh JPN Kedah.
  • JPN Kedah menekankan kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik peka dan berikan bantuan sesuai.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memantau rapat keadaan pelajar berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sejurus menerima maklumat, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu mengambil tindakan segera termasuk menghubungi waris, membuat laporan polis serta menyediakan sokongan psikososial kepada murid, keluarga dan rakan yang terkesan.

JPN Kedah turut mengambil maklum dapatan awal siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa pelajar berkenaan dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik.

“Siasatan masih berjalan dan JPN Kedah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

JPN Kedah memandang serius aspek kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik supaya peka terhadap perubahan emosi anak-anak dan mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.

JPN Kedah turut memastikan sokongan yang bersesuaian diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan, selain mendoakan agar pelajar berkenaan diberikan kesembuhan.

Menurut laporan media, kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang Ahad lalu apabila pelajar itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah sebelum ditemukan terbaring di aras bawah berhampiran tangga Blok E.

Seorang guru yang menyedari kejadian itu kemudian memaklumkannya kepada Penolong Kanan sesi petang sebelum pihak polis dihubungi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.