
LABUAN, 26 Ogos – Mayat lelaki 57 tahun ditemukan di sebuah rumah sewa di tingkat dua atas restoran di Jalan OKK Abdullah di sini dipercayai lebih daripada lima hari meninggal dunia.
- Bomba memecahkan pintu rumah sewa untuk membawa turun mayat selepas ketibaan ke lokasi.
- Panggilan kecemasan diterima pada 4.55 petang dan pasukan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
- Operasi melibatkan 14 anggota bomba, lima anggota polis serta jentera FRT, EMRS dan LFRT; mayat diserahkan kepada polis.
JBPM Labuan menerusi laporan memaklumkan, agensi itu terpaksa memecahkan pintu rumah sewa tersebut bagi menurunkan mayat lelaki berkenaan.
“Panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 4.55 petang tadi dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Bomba Labuan terpaksa memecahkan pintu rumah sewa untuk membawa turun mayat lelaki berkenaan. Sebaik pintu dipecahkan, mayat seorang lelaki ditemukan.
“Pasukan perubatan mengesahkan bahawa lelaki berkenaan dianggarkan telah meninggal dunia melebihi lima hari,” menurut laporan itu.
Operasi berkenaan melibatkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rancha-Rancha dan BBP Labuan Sentral, serta lima orang anggota polis.
Operasi itu juga turut melibatkan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan tamat pada pukul 6.10 petang.