MSM kembali untung, catat PBT RM35 juta suku kedua 2026

Logo MSM / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – MSM Malaysia Holdings Berhad kembali mencatat keuntungan pada suku kedua 2026 dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM35 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSM kembali mencatat keuntungan selepas cukai RM23 juta, disokong margin bertambah baik dan perbelanjaan operasi lebih rendah.
  • Hasil suku kedua susut kepada RM608 juta disebabkan purata harga jualan dan jumlah jualan yang lebih rendah.
  • Operasi dioptimumkan mengikut permintaan, manfaat harga gula mentah lebih rendah, kadar pertukaran menggalakkan, dan kerjasama kerajaan untuk harga mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dr Aini Shahar berkata, keuntungan selepas cukai pula berjumlah RM23 juta berbanding kerugian RM30 juta pada suku kedua 2025.

Menurutnya, prestasi itu disokong margin yang bertambah baik, perbelanjaan operasi lebih rendah serta tumpuan kepada produk bermargin lebih tinggi.

“Bagaimanapun, hasil suku kedua susut kepada RM608 juta daripada RM813 juta berikutan purata harga jualan dan jumlah jualan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi separuh pertama 2026, MSM merekodkan PBT sebanyak RM23 juta berbanding kerugian RM15 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil berjumlah RM1.16 bilion.

Dari segi operasi, kumpulan terus melaksana pengeluaran mengikut permintaan pasaran, selain mendapat manfaat daripada harga gula mentah lebih rendah, pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan serta kos pengangkutan lebih rendah.

Dr. Aini berkata, fokus kumpulan kini adalah melindungi margin, mengekalkan keuntungan serta meneruskan disiplin kos dan kecekapan operasi.

MSM juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memuktamad rangka kerja penetapan harga yang mampan bagi menyokong keselamatan makanan dan kelangsungan industri gula domestik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.