
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan penarikan balik Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” kepada Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa 8 Jun lalu.
- Jabatan Perdana Menteri memaklumkan penarikan balik darjah dibuat susulan sabitan kes rasuah; Mohd Isa kini menjalani hukuman penjara.
- Penarikan balik selaras Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota di bawah Perenggan XXV dan XXV(A).
- Keputusan turut selaras titah Seri Paduka Baginda mengenai penarikan balik sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan pada 7 September 2024.
- Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengetepikan keputusan pelepas, mengembalikan sabitan, hukuman enam tahun dan denda terhadap beliau.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan sabitan kesalahan rasuah terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Menurut JPM, penarikan balik darjah kebesaran tersebut selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia di bawah Perenggan XXV dan XXV(A), yang memperuntukkan bahawa sesuatu darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerimanya disabitkan atas kesalahan jenayah.
“Ia juga selaras dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Mohd Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah membabitkan sejumlah RM3.09 juta yang diterima daripada Ikhwan Zaidel, yang ketika itu pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.
Ia sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd pada harga RM160 juta.
Bekas pengerusi FELDA itu kini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan sidang terdahulu dan ditetapkan untuk didengar pada 26 Jun ini.