PL Tun Sharifah Rodziah dibubar selepas sedekad perkukuh keselamatan Sabah Timur

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris (tengah) pada Majlis Pembubaran Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) sebagai simbolik penamatan perkhidmatan pangkalan tersebut / Foto ihsan FB Markas Wilayah Laut 2

SEMPORNA, 11 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi membubarkan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) selepas hampir 11 tahun berperanan sebagai pangkalan hadapan strategik dalam memperkukuh keselamatan dan mempertahankan kedaulatan perairan negara di Sabah Timur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis pembubaran disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris.
  • PL TSR menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan kawasan strategik dan memperkukuh kehadiran di ESSZONE.
  • Fungsi pangkalan hadapan diteruskan oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan untuk kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi.
  • PL TSR asalnya MOPU Hercules 259, dibina 1973 dan ditransformasikan melalui kerjasama TLDM, PETRONAS dan SapuraKencana.

Majlis pembubaran yang berlangsung mengikut istiadat ketenteraan itu disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, PL TSR memainkan peranan penting dalam menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan kawasan strategik serta memperkukuh kehadiran aset keselamatan negara di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).

Kedudukannya yang strategik turut membolehkan tindak balas lebih pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan di perairan.

“Walaupun operasi PL TSR ditamatkan, fungsi dan peranannya sebagai pangkalan hadapan akan diteruskan oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA Tun Azizan) bagi memastikan kesinambungan kehadiran serta kesiagaan operasi TLDM di kawasan berkenaan,” menurut TLDM dalam satu kenyataan.

TLDM menegaskan akan terus memperkukuh keupayaan operasinya selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan landskap keselamatan maritim bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 sebagai pangkalan laut hadapan TLDM di kawasan ESSZONE sebelum dirasmikan pada 28 Mei 2016.

Pada asalnya pangkalan ini merupakan sebuah Unit Pengeluaran Luar Pesisir Bergerak atau Mobile Offshore Production Unit (MOPU) iaitu struktur atau kapal laut boleh alih yang dikenali sebagai Hercules 259 dan dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973.

Melalui kerjasama strategik antara TLDM, PETRONAS dan SapuraKencana, platform berkenaan telah ditransformasikan menjadi pangkalan laut hadapan bagi memastikan kehadiran berterusan pasukan keselamatan di kawasan perairan berkepentingan tinggi di Sabah Timur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.