
SEGAMAT, 27 Jun – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Jementah bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
- Ng Kor Sim fokus manifestonya pada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk golongan muda.
- Beliau mempromosikan usahawan muda melalui media sosial, menarik pempengaruh dan merancakkan kedatangan pengunjung luar ke daerah itu.
- Pengaktifan semula sebuah kilang sejak Mei mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan; beliau yakin lebih pelaburan akan datang.
Penyandang kerusi berkenaan, Ng Kor Sim mewakili PH akan ditentang oleh calon BN, See An Geak dan PN, Saifullah Abdul Wahab.
Pada PRN Johor Ke-15 lepas, Kor Sim memenangi kerusi Jementah selepas memperoleh 8,877 undi, menewaskan calon BN dan PN.
Terdahulu, proses penamaan calon yang berlangsung di 56 pusat penamaan calon di seluruh Johor dibuka tepat pukul 9.00 pagi sebelum selesai sejam kemudian.
Kesemua proses berlangsung dalam keadaan lancar dan terkawal.
Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Negeri (DUN) N.02 Jementah Ng Kor Sim menjadikan agenda pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk golongan muda sebagai fokus utama manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Menurut beliau, isu kekurangan peluang pekerjaan di daerah berkenaan menjadi punca utama kepada lambakan penghijrahan anak muda ke daerah lain demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Kali ini punya manifesto (PRN) iaitu membawa lebih banyak produk soya dan membawa lebih banyak peluang (pekerjaan) ke Segamat terutamanya untuk anak muda kita, sebab saya selalu dengar rungutan ataupun keluhan daripada orang-orang sini.
“Mungkin anak muda terpaksa keluar untuk cari kerja (kerana) ekonomi sini tidak setaraf dengan (bandar) seperti Johor Bahru, Kulai ataupun Batu Pahat,” katanya demikian kepada RTM disini.
Kor Sim yang juga penyandang kerusi DUN tersebut berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakannya sebelum ini bagi membantu usahawan tempatan khususnya generasi muda termasuk mempromosikan perniagaan mereka menerusi platform media sosial.
Beliau berkata langkah proaktif itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian pempengaruh media sosial malah merancakkan kehadiran pengunjung luar ke Segamat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha pengaktifan semula sebuah kilang di daerah itu sejak Mei lalu telah berjaya mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.
Beliau turut melahirkan keyakinan lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian, perladangan dan perusahaan akan dapat dibawa masuk ke Segamat pada masa akan datang bagi memastikan generasi muda dapat terus menetap dan bekerja di kawasan berkenaan.